Metronic jangka jana perolehan kasar RM100 juta menerusi penerokaan IoT | DagangNews Skip to main content

Metronic jangka jana perolehan kasar RM100 juta menerusi penerokaan IoT

Metronic percaya platform ini akan membolehkan MISSB mempelbagaikan saluran perniagaan baharu dalam teknologi industri digital baharu.

KUALA LUMPUR 5 Ogos - Metronic Global Bhd menjangka menjana perolehan kasar sebanyak RM100 juta dalam tempoh lima tahun daripada penerokaannya ke Internet Benda (IoT) menerusi anak syarikat milik penuhnya, Metronic Integrated System Sdn Bhd (MISSB).

 

MISSB menyediakan penyelesaian kejuruteraan dan penyelenggaraan menyeluruh dalam industri pengurusan kemudahan seperti Sistem Pengurusan Bangunan Pintar, Sistem Pengurusan Bangunan, Sistem Pengurusan Tenaga, Keselamatan dan Sistem ICT.

 

Metronic baru-baru ini melancarkan aplikasi mudah alih perkhidmatan dan platform e-Dagang yang memfokuskan pada perdagangan peralatan dan alat ganti kejuruteraan pembinaan, sistem keselamatan, produk rumah pintar, produk digitalisasi untuk sektor pengurusan bangunan dan industri teknologi digital.

 

Metronic percaya platform ini akan membolehkan MISSB mempelbagaikan saluran perniagaan baharu dalam teknologi industri digital baharu dan mewujudkan sinergi dengan perniagaan terasnya.

 

"MISSB telah menceburi bidang IoT, teknologi logistik dan e-Dagang kerana potensi besar aplikasinya dan sinergi dengan perniagaan teras kumpulan."

 

"Kumpulan itu menjangka perisian ini menjana jumlah dagangan kasar sebanyak RM100 juta untuk lima tahun akan datang," kata Metronic dalam satu kenyataan.

 

Syarikat itu berkata ia telah melabur berjuta-juta ringgit dalam membangunkan aplikasi mudah alih perkhidmatan, platform pengurusan rantaian logistik/bekalan dan platform e-Dagang untuk meningkatkan operasi dan menceburi perniagaan baharu.

 

Syarikat itu menambah bahawa ia secara berterusan mempromosikan perkhidmatan pengurusan bangunan yang mampu menyediakan perkhidmatan penyelenggaraan komprehensif berkontrak atau sebarang perkhidmatan lain untuk sistem bangunan.

 

"Pasukan jualan e-Dagang yang berdedikasi telah mula melancarkan dan memasarkan platform kepada peniaga berpotensi (pembekal dan vendor) dan berharap untuk mendapatkan lebih banyak perjanjian On-Boarding Merchant.

 

"Memandangkan perniagaan pendigitalan yang berterusan di Malaysia, perisian itu akan membolehkan kumpulan menyumbang secara positif kepada pendapatan masa depan kumpulan itu," tambahnya. - DagangNews.com