METT, pengecas tanpa wayar pertama Malaysia dilancar | DagangNews Skip to main content

METT, pengecas tanpa wayar pertama Malaysia dilancar

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 29 Sept. - Malaysia menyaksikan pengecas telefon mudah alih tanpa wayar yang pertama, METT atau Malaysia Energy Transmission Technology telah dilancarkan hari ini.

METT dibangunkan oleh Enhance Track Sdn. Bhd. dan NanoMalaysia Berhad dalam usaha untuk memacu pengkomersialan nanoteknologi.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Khairy Jamaluddin berkata, METT berpotensi mewujudkan sehingga 2,800 pekerjaan yang memerlukan pekerja dengan pengetahuan dan kemahiran teknikal STEM serta kakitangan penjualan dan pemasaran. 

“Ini akan membantu menangani kadar pengangguran yang meningkat dengan permintaan tinggi terhadap pekerja berkemahiran tinggi. 

“Dalam pada itu, teknologi ini juga boleh dikembangkan ke dalam aplikasi canggih sebagai sistem pengecas tanpa wayar bagi kenderaan elektrik. Ini akan membuka pintu buat Malaysia untuk beralih ke ekonomi hijau yang kelak mewujudkan lebih banyak pekerjaan baharu. 

 

METT
DARI kiri, Siti Hamisah Tapsir, Khairy Jamaluddin, Rezal Khairi Ahmad dan Benedict Foo pada majlis pelancaran METT hari ini.

 

“Ini merupakan contoh utama bagaimana peluang kesan limpahan ekonomi dapat ditingkatkan menerusi pembangunan sebuah teknologi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmiannya pada majlis pelancaran METT hari ini. 

Turut hadir Ketua Setiausaha MOSTI, Datuk Ir. Dr. Siti Hamisah Tapsir; Ketua Pegawai Eksekutif NanoMalaysia, Dr. Rezal Khairi Ahmad dan Pengarah Urusan Enhance Track, Dr. Benedict Foo. 

Menurut kenyataan akhbar NanoMalaysia, METT membolehkan keupayaan mengecas bukan induktif tanpa sentuhan pada jarak sejauh beberapa meter untuk peranti mudah alih berasaskan 5V dan sesuai untuk semua jenis telefon mudah alih dan tablet.  

METT beroperasi pada julat gelombang frekuensi radio dan terdiri daripada dua komponen iaitu penghantar dan penerima. 

 

komponen penghantar
Komponen penghantar METT

 

Penghantar perlu disambungkan ke punca kuasa (palam) dan penerima yang mengandungi sistem pengecas perlu dipasang pada peranti mudah alih. 

Sistem pengecas kemudiannya akan mengesan isyarat RF dan mengubahnya menjadi tenaga elektrik untuk mengecas bateri. 

Apabila sistem itu digunakan, pengguna boleh memasuki mana-mana zon pengecas dan telefon mereka akan dicaskan secara automatik.

METT dijangka memasuki pasaran menjelang pertengahan tahun 2021 dengan harga komponen penerima dianggarkan antara RM300 hingga RM 500 dan komponen penghantar pula antara RM1,000 hingga RM 2,000. 

Sebuah penghantar boleh digunakan untuk berbilang penerima. METT dijangka dapat menjana hasil jualan hampir RM1.9 bilion.

Dalam pada itu, sasaran awal pasaran METT ialah perniagaan dan juga individu. 

Kedua-duanya mempunyai kos pembangunan yang lebih rendah dan menyediakan jumlah penggunaan yang besar bagi memperoleh kejayaan komersial dan kadar penggunaan yang tinggi pada peringkat permulaan. - DagangNews.com