MGB peroleh kontrak RM167.75 juta bina apartmen servis di Genting Highlands | DagangNews Skip to main content

MGB peroleh kontrak RM167.75 juta bina apartmen servis di Genting Highlands

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 14 Dis - MGB Berhad melalui anak syarikatnya, MGB Construction & Engineering Sdn Bhd (MGBCE) telah menerima kontrak bernilai RM167.75 juta bagi projek pembangunan apartmen servis di Genting Highlands.

 

Menurut kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, MGBCE menerima kontrak itu daripada RDC Arkitek (KL) Sdn Bhd bagi pihak Johan Anggun Sdn Bhd (JASB) bagi cadangan projek pembangunan itu di tanah berkeluasan 0.93 hektar.

 

Projek tersebut disasarkan untuk disiapkan dalam tempoh 27 bulan, yang dijangka bermula pada 4 Mac 2024 sehingga 3 Jun 2026.

 

MGB berkata projek itu melibatkan pembinaan apartmen servis 28 tingkat dengan ruang kemudahan, tempat letak kereta dan lobi.

 

“Dengan penerimaan kontrak tersebut, buku pesanan tertunggak semasa kumpulan adalah kira-kira RM1.22 bilion.

 

“Kontrak tidak akan memberi kesan ke atas modal saham terbitan syarikat tetapi ia dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih sesaham syarikat dan kumpulan sepanjang tempoh kontrak,” katanya.

 

JASB merupakan anak syarikat bukan langsung LBS Bina Goup Berhad, yang juga pemegang saham besar MGB.

 

Tan Sri Lim Hock San merupakan Pengerusi Eksekutif dan pemegang saham utama LBS Bina, serta Naib Pengerusi Eksekutif MGB.

 

Datuk Wira Lim Hock Guan adalah Pengarah Urusan Kumpulan bagi kedua-dua MGB dan LBGB, dan pemegang saham utama LBGB.

 

Lim Kim Hoe adalah anak kepada Lim Hock San dan juga merupakan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MGB dan pengarah MGBCE.

 

Saham MGB ditutup tidak berubah pada 64 sen, memberikannya permodalan pasaran sebanyak RM378.7 juta. - DagangNews.com