Mi Technovation catat untung bersih 20% lebih rendah pada RM55 juta bagi FY23 | DagangNews Skip to main content

Mi Technovation catat untung bersih 20% lebih rendah pada RM55 juta bagi FY23

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 23 Feb - Mi Technovation Bhd mencatat penurunan 20% dalam keuntungan bersihnya bagi tahun kewangan 2023 (FY23) kepada RM55 juta berbanding RM68.9 juta dalam tahun sebelumnya. 

 

Ini adalah susulan pembayaran cukai pegangan RM3.58 juta berhubung dividen yang diterima daripada anak syarikatnya di Taiwan pada suku ketiga FY2, menurut makluman kumpulan itu kepada Bursa Malaysia.

 

Oleh itu, pendapatan sesaham (EPS) syarikat pembuatan peralatan dan bahan semikonduktor itu menyusut kepada 6.17 sen daripada 7.69 sen sebelumnya.

 

Pendapatan syarikat pula menyusut 8.6% kepada RM356 juta pada FY23 daripada RM389 juta tahun sebelumnya.

 

Mi Technovation berkata, pendapatannya pada FY23 terjejas oleh kelemahan permintaan dalam pasaran semikonduktor global, terutamanya daripada pelanggan utamanya di Taiwan, dan pelarasan lebihan stok rantaian bekalan yang berterusan.

 

Selaras dengan penguncupan pendapatan, keuntungan operasi Mi Technovation menurun 24.7% kepada RM40.3 juta pada FY23 berbanding RM53.6 juta tahun sebelumnya kerana penggunaan kapasiti lebih rendah, terutamanya pada separuh pertama 2023.

 

Prestasi tahun kewangan itu diakhiri dengan prestasi lemah pada suku keempat tahun kewangan 2023 (4QFY23) yang merekodkan keuntungan bersih RM11.9 juta, jatuh 30% daripada RM17 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Sementara itu, pendapatan kumpulan pada suku berakhir 31 Disember 2023 tersebut merosot 17.5% kepada RM96.6 juta berbanding RM117 juta tahun sebelumnya.


Bagi FY24, Mi Technovation berkata ia optimis terhadap prospek tiga perniagaannya, iaitu unit perniagaan peralatan semikonduktor (SEBU), unit perniagaan bahan semikonduktor (SMBU) dan unit perniagaan rumusan semikonduktor (SSBU).

 

Bagi SEBU, kumpulan itu berkata pelbagai siri produknya dengan teknologi terkemuka dan ciri didayakan AI (kecerdasan buatan) semakin mendapat tarikan dan sejajar dengan permintaan pasaran.

 

“Dengan kedudukan utama kami dalam aplikasi termaju untuk mobiliti dan boleh dipakai; pengkomputeran berprestasi tinggi (HPC) dan memori; serta titik fokus baharu kami dalam segmen automotif dan tenaga boleh diperbaharui, kami menjangkakan trend pertumbuhan yang kukuh untuk SMBU dalam dekad-dekad akan datang.

 

“Bagi SSBU, kami optimis tentang prospek unit perniagaan ini dan perkembangan mengikut perancangan dalam mempersiapkan kilang Hangzhou kami,” katanya.

 

Saham Mi Technovation ditutup rendah 3 sen atau 1.5% kepada RM2.04 hari ini, memberikannya permodalan pasaran bernilai RM1.8 bilion. - DagangNews.com