MICCI dakwa kes positif tinggi disebabkan ujian COVID-19 besar-besaran di Selangor | DagangNews Skip to main content

MICCI dakwa kes positif tinggi disebabkan ujian COVID-19 besar-besaran di Selangor


KUALA LUMPUR 26 Mei - Dewan Perdagangan dan Industri Antarabangsa (MICCI) mendakwa angka tinggi kes positif COVID-19 baharu berpunca daripada `ujian saringan agreasif' yang dilakukan di negeri-negeri seperti Selangor.

 

"Dan ia tidak seharusnya dianggap sebagai petunjuk bahawa kes-kes COVID-19 sedang menular. Ia mungkin disebabkan kes-kes tersebut sudah pun ada di dalam komuniti serta tidak diketahui sehingga ujian besar-besaran diadakan," kata MICCI dalam kenyataan media di sini.

 

Menurut persatuan itu lagi, kajian kes menunjukkan perintah berkurung bukan penyelesaian baik, sebaliknya ia merosakkan kehidupan rakyat dan sekadar menghimpunkan virus sebelum terus membiak dalam kalangan pekerja yang terkurung di asrama mereka.

 

"Tempat kerjalah tempat paling selamat kerana perniagaan boleh mengawal SOP.

 

"PKP terkawal merupakan penyelesaian terbaik bagi `meratakan lengkuk' dan bukan menghapuskan virus kerana virus dan variannya akan kekal selamanya," kata MICCI.

 

MICCI menyokong keputusan Perdana Menteri untuk tidak melaksanakan PKP menyeluruh, dan ia disifatkan MICCI sebagai `keputusan rasional berasaskan fakta' berbanding menggunakan sentimen demi untuk kepentingan politik semata-mata.

 

"Tidak ada perniagaan yang akan saja-saja melakukan aktiviti bercanggah dengan SOP yang bakal menjejaskan perniagaannya.

 

"Setiap perniagaan dan rakyat biasa, atas kerelaan sendiri, akan "kita jaga kita". Membenarkan perniagaan dibuka tidak bermakna kita tidak dapat mematuhi sendiri SOP bagi memutuskan rantaian COVID-19," kata MICCI. - DagangNews.com