Michael Oh-Lau Chong Jin dilantik sebagai CEO Maybank Investment Banking Group | DagangNews Skip to main content

Michael Oh-Lau Chong Jin dilantik sebagai CEO Maybank Investment Banking Group

Michael Oh-Lau Chong Jin menggantikan Datuk Ami Moris yang akan bersara sebagai Ketua Pegawai Eksekutif.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 3 Nov - Maybank hari ini mengumumkan pelantikan Michael Oh-Lau Chong Jin sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Investment Banking Group (MIBG) berkuat kuasa 1 Disember 2022. 

 

Michael akan menggantikan Datuk Ami Moris yang akan bersara sebagai Ketua Pegawai Eksekutif. Beliau akan bertanggungjawab untuk menyelia kesemua perkhidmatan perbankan pelaburan, khidmat nasihat, penyelidikan, pembrokeran dan pembrokeran utama di Malaysia dan merentasi platform serantau MIBG.

 

Michael mempunyai pengalaman perbankan borong yang luas sepanjang tempoh 27 tahun beliau berkhidmat dengan Kumpulan, meliputi pelaburan dan perkhidmatan perbankan korporat di seluruh francais serantau Maybank dan pusat kewangan strategik yang terletak di seluruh dunia. 

 

Pengetahuan mendalam beliau tentang pelanggan korporat, penyelesaian produk dan perkhidmatan, pengurusan perhubungan pelanggan dan pengurusan risiko, telah membolehkannya membangunkan rangkaian dan hubungan yang kukuh dengan pelanggan korporat Maybank.

 

Peranan kepimpinan beliau baru-baru ini dalam Maybank adalah termasuk Pengarah Urusan, Ketua Serantau Pasaran Hutang di Maybank Investment Bank dan Pengarah Urusan, Perbankan Korporat untuk Perbankan Global Kumpulan, jawatan yang dipegangnya sejak enam tahun lalu. 

 

Sepanjang tempoh perkhidmatannya, beliau berjaya melaksanakan urus niaga pasaran modal hutang penting yang mengukuhkan kedudukan Maybank sebagai penyusun sukuk terkemuka. 

 

Baru-baru ini, beliau memainkan peranan penting dalam mereka bentuk dan melaksanakan program bantuan pembayaran balik untuk pelanggan korporat dari permulaan pandemik COVID-19, bertujuan untuk membantu dan mengekalkan pelanggan ini semasa dan selepas pandemik.

 

Michael memegang Ijazah Sarjana Muda Sains dalam Pengurusan Am dari Indiana University of Pennsylvania, US dan telah menghadiri dua program pendidikan eksekutif, iaitu Program Jurubank Pacific Rim dari University of Washington dan Program Eksekutif dari Darden School of Business of University of Virginia. 

 

Sebagai pengiktirafan terhadap kepimpinan teladan beliau dalam ruang pasaran modal hutang, Michael adalah penerima Anugerah Jurubank Muda Harapan The Asian Banker pada tahun 2011. 

 

Datuk Khairussaleh Ramli
                                  Datuk Khairussaleh Ramli

 


Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Khairussaleh Ramli berkata, pelantikan Michael adalah bukti perancangan penggantian dalaman Kumpulan yang kukuh berdasarkan keupayaan dan rekod prestasi individu. 

 

Beliau berkata, beliau adalah seorang warga Maybank berkomitmen tinggi yang mendukung misi Menginsankan Perkhidmatan Kewangan dan mempunyai pengalaman mendalam dalam pelbagai bidang perbankan global dan pelaburan. 

 

"Kami bersedia untuk menyokong Michael dalam segmen pertumbuhan MIBG seterusnya selaras dengan strategi M25+ Kumpulan yang diperhalusi untuk menyampaikan penyelesaian yang disesuaikan dengan keperluan khusus setiap pelanggan merentas semua segmen dan geografi pasaran kami, memberikan pengalaman pelanggan yang luar biasa dan tawaran pelaksanaan perniagaan bertaraf dunia untuk pelanggan kami di seluruh rantau ini.

 

“Bagi pihak Kumpulan, saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Ami Moris di atas kepimpinan, dedikasi dan sumbangan tinggi beliau kepada evolusi dan pembangunan MIBG, termasuk kemaskini terkini strategi M25+ untuk MIBG. 

 

"Dato’ Ami, yang telah menjadi Ketua Pegawai Eksekutif MIBG sejak lewat 2018 dan telah berkhidmat dengan MIBG selama 13 tahun, telah memainkan peranan penting dalam mewujudkan francais perbankan pelaburan yang diiktiraf di peringkat serantau yang telah menerima pelbagai pengiktirafan termasuk Bank Pelaburan Terbaik Malaysia dan Broker Terbaik di Asia Tenggara. 

 

"Baru-baru ini, beliau telah menjadi penyokong kuat dalam memacu agenda kemampanan MIBG dan meneraju elemen kepelbagaian dan keterangkuman industri di peringkat Lembaga Pengarah dan C-Suite menerusi peranannya sebagai Pengerusi 30% Club Malaysia. Kami mengucapkan selamat bersara dan yang terbaik dalam usaha masa depannya," katanya dalam satu kenyataan hari ini. - DagangNews.com