MicroBizReady CIMB tingkat kemahiran digital lebih 100 usahawan B40 | DagangNews Skip to main content

MicroBizReady CIMB tingkat kemahiran digital lebih 100 usahawan B40

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 12 Julai - CIMB Bank Berhad dan CIMB Islamic Bank Berhad (CIMB) menerusi program MicroBizReady telah berjaya meningkatkan kemahiran digital 112 usahawan B40 untuk memperkasakan lagi perniagaan mereka. 

 

Sebagai rekod, MicroBizReady telah dilancarkan pada Oktober 2020 dengan kerjasama Taylor’s Community.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB, Datuk Abdul Rahman Ahmad berkata, program tersebut dibangunkan untuk membantu perniagaan mikro dalam mencapai matlamat dan impian mereka.

 

Abdul Rahman Ahmad
Abdul Rahman Ahmad

 

“Objektif program ini mencerminkan komitmen CIMB untuk menyokong komuniti perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan B40, menggariskan matlamat bank untuk menjadi sebuah organisasi yang mempunyai tujuan, tema strategik penting dalam strategi perniagaan Forward23+ kami. 

 

“Pada masa yang sama, kami juga gembira dapat membantu PKS untuk memanfaatkan peluang yang diberikan sepanjang perjalanan perniagaan mereka dengan cara yang lebih berdaya maju, terutama ketika tempoh mencabar ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

MicroBizReady disasarkan untuk PKS mikro dalam membantu mereka untuk mengembangkan perniagaan menerusi latihan dalam pendigitalan, strategi perniagaan dan kewangan.

 

Menerusi program itu, seorang mentor akan ditugaskan untuk setiap peserta yang akan membimbing dan menilai perkembangan mereka. 

 

Langkah ini akan diteruskan walaupun setelah mereka menyelesaikan program tersebut bagi memastikan usahawan mendapat akses rundingan dan nasihat percuma di samping mengembangkan perniagaan mereka.

 

Sejak dilancarkan, tiga kelompok usahawan berjaya melengkapkan program itu terdiri daripada pemilik perniagaan am di Lembah Klang, usahawan wanita dan komuniti asnaf. - DagangNews.com