Micron Technology capai 100% Tenaga Boleh Diperbaharui di Malaysia | DagangNews Skip to main content

Micron Technology capai 100% Tenaga Boleh Diperbaharui di Malaysia

Pejabat Micron Technology di Batu Kawan, Pulau Pinang

GEORGETOWN 20 April  — Micron Technology, Inc., peneraju industri dalam penyelesaian memori dan penyimpanan yang inovatif yang tersenarai di bursa Nasdaq, hari ini mengumumkan bahawa kilang pembuatan, pejabat dan kemudahannya di Malaysia kini dikuasakan oleh 100% tenaga boleh diperbaharui.

 

Pencapaian itu membuktikan komitmen syarikat terhadap kepimpinan yang bertanggungjawab dan mampan dalam operasi globalnya di 17 negara.

 

Naib presiden eksekutif Operasi Global di Micron, Manish Bhatia berkata, Micron mewujudkan matlamat kemampanan yang tinggi tahun lepas untuk mendapatkan tenaga boleh diperbaharui bila dan di mana boleh.

 

“Terima kasih kepada komitmen yang tidak berbelah bahagi pasukan kami untuk mengurangkan jejak karbon dan impak kami ke atas planet ini, Micron Malaysia merupakan lokasi pertama syarikat dan perniagaan pertama di Taman Perindustrian Batu Kawan yang mencapai 100% tenaga boleh diperbaharui,” katanya.

 

Untuk membantu mencapai kejayaan ini, Micron memperoleh Tarif Elektrik Hijau (GET) untuk kedua-dua tapaknya di Malaysia, Micron Memory Malaysia Sdn Bhd dan Micron Semiconductor Malaysia Sdn Bhd.

 

GET ialah inisiatif kerajaan untuk membantu matlamat negara mencapai sifar bersih pelepasan gas rumah hijau menjelang 2050. Pelanggan membeli elektrik mereka daripada penjana solar atau hidroelektrik dan bukannya bahan api fosil untuk mengurangkan jejak karbon mereka.

 

Hasilnya, operasi pembuatan dan kejuruteraan Micron di Malaysia akan menggunakan 100% tenaga boleh diperbaharui dan mencapai pengurangan 100% dalam pelepasan karbon dioksida, bersamaan dengan kira-kira 120,000 tan metrik karbon dioksida atau lebih setahun.

 

 

Manish Bhatia
                      Manish Bhatia

 

 

Anggaran pelepasan karbon adalah bersamaan dengan mengalihkan 24,000 kenderaan penumpang dari jalan raya dalam setahun.

 

Syarikat itu telah komited untuk membelanjakan AS$1 bilion menjelang 2028 untuk memenuhi sasaran alam sekitarnya, mengurangkan keamatan pelepasan gas rumah hijau sebanyak 75% antara 2018 dan 2030, mencapai 75% penjimatan air dan 95% pengalihan sisa secara global pada 2030, dan sumber 100% tenaga boleh diperbaharui merentasi operasi pembuatannya di Amerika Syarikat menjelang akhir 2025. - DagangNews.com