MICROSLEEP adalah bermaksud tertidur secara tiba-tiba tanpa disedari dalam jangka masa yang sekejap. Ada juga yang menyebutnya sebagai `terlelap’.
Ia menjadi masalah besar bagi pemandu-pemandu kenderaan terutama ketika kesesakan lalu lintas, ditambah lagi dengan keadaan cuaca panas terik sehingga menjadikan mata kita lebih mengantuk.
Hal sedemikian juga boleh menyebabkan terjadinya microsleep yang berbahaya bagi pemandu sehingga boleh menyebabkan kemalangan kecil malah mengancam nyawa.
Microsleep boleh berlaku di mana-mana sahaja. Tidak kira siang petang mahu pun malam. Berdasarkan pengalaman mangsa yang mengalami microsleep, ia disebabkan terlalu letih seharian keluar menggunakan kereta untuk ke destinasi yang jauh sehingga menyebabkan keretanya berlanggar dengan sebuah kereta yang lain dari arah yang bertentangan berpunca dari microsleep.
Faktor terjadinya microsleep
Antara sebab terjadinya microsleep adalah mengantuk disebabkan sukar untuk tidur malam. Tidur malam amat penting kerana ia adalah masa untuk kita beristirehat setelah seharian bekerja. Manfaat yang boleh kita dapati daripada tidur yang cukup adalah dapat merasakan tubuh menjadi lebih bertenaga keesokan harinya.
Kurang tidur boleh menyebabkan badan kita berasa lesu dan lemah. Kerap menggunakan telefon pada waktu malam sehingga boleh menyebabkan sukar untuk tidur.
Secara semula jadi, semua tubuh badan manusia mempunyai kitaran normal yang membolehkan kita tidur di waktu malam dan berjaga di waktu siang.
Namun, apabila kita seringkali bermain telefon sebelum tidur, otak akan keliru sama ada perlu memproses waktu tidur ataupun sebaliknya.
Hal ini menyebabkan seseorang tersebut leka sehingga terlepas waktu sepatutnya tidur ataupun boleh dikatakan tidur lewat dan tidak cukup tidur. Oleh hal yang demikian, tidur malam amat penting bagi menggelakkan microsleep daripada berlaku.
Sleep apnea
Seterusnya adalah “sleep apnea”. Dikenali sebagai suatu keadaan yang berlaku di mana seseorang kerap berhenti bernafas ketika tidur. Menurut Ketua Jabatan ENT Putrajaya Dr Balwinder Singh Mann, ramai masyarakat di Malaysia tidak menyedari bahawa mereka menghidap “sleep apnea”.
Jelasnya, antara punca “sleep apnea” adalah disebabkan rehat yang tidak mencukupi dan kajian tidur perlu dibuat untuk mengenal pasti masalah tersebut.
Banyak faktor yang menjadi punca kepada penyakit ini. antaranya adalah perokok, mengambil alkohol yang berlebihan, obesiti juga turut menyumbang kepada penyakit ini.
Ubatan-ubatan juga boleh menyebabkan mengantuk seperti ubat selsema yang juga dikenali sebagai (antihistamine) yang boleh mengurangkan gejala selsema.
Ubat tersebut terdapat dua jenis. Jenis yang lama adalah Chlopheniramine yang memberi kesan mengantuk yang ketara.
Namun yang demikian, antihistamine jenis yang baru seperti Cetrizine dan Loratadine pula mempunyai kesan mengantuk yang tidak ketara namun pada sesetengah individu, ubat antihistamine jenis baru ini juga boleh menyebabkan mengantuk dan boleh mengganggu tumpuan dan juga fokus ketika memandu.
Kerja berlebihan atau terlalu lama boleh menyebabkan badan terasa lemah dan tidak mendapat rehat yang secukupnya. Hal ini juga boleh dikatakan sebab berlakunya microsleep.
Tidak cukup rehat boleh mengganggu fokus Ketika memandu. Perkara ini selalunya berlaku kepada pekerja yang mengambil kerja lebih masa untuk mencari rezeki lebih.
Bagi sesetengah pihak hal ini adalah bagus kerana boleh memberikan dapatan yang tinggi namun perlu diingatkan tentang kesihatan diri yang boleh membahayakan nyawa.
Simptom microsleep
Microsleep boleh diketahui dari melihat kelakuan seseorang pemandu
- Lambat bertindak balas
- Termenung
- Terjatuh sesuatu yang dipegang
- Kepala terlentok
- Mata lambat berkedip
- Tersentak tiba-tiba
- Menguap dengan kerap
- Terlepas jalan yang nak ditujui
- Kelopak mata terasa berat
Perkara tersebut boleh diketahui jika terdapat penumpang di dalam kereta tersebut bersama dengan pemandu dan microsleep juga boleh dielakkan daripada berlaku.
Perkara yang membimbangkan adalah jika terdapat simptom tersebut Ketika pemandu berseorangan di dalam kereta kerana microsleep boleh terjadi tanpa kita sedari.
Kesan microsleep
Microsleep boleh menyebabkan kemalangan khususnya di jalan raya. Penyelidik Bersekutu Institut Pengajian Sains Sosial Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr. Kulanthayan KC Mani berkata, microsleep boleh berlaku hanya dalam beberapa saat tetapi mampu menyebabkan pemandu hilang kawalan dan juga kemalangan jalan raya.
Kemalangan jalan raya yang sering berlaku adalah pelanggaran antara dua buah kereta yang bertentangan arah. Kemalangan tersebut boleh menyebabkan kecederaan mahupun yang lebih buruk adalah kehilangan nyawa.
Kemalangan yang berlaku disebabkan microsleep boleh menyebabkan pemandu kehilangan nyawa.
Pemandu yang terkena microsleep tidak sedarkan diri dalam beberapa saat sehingga tidak sedar apa yang berlaku kepada arah kereta yang dipandunya tambahan lagi jika dia membawa kereta dengan laju sehingga boleh menyebabkan kemalangan yang teruk dan boleh meragut nyawa.
Seterusnya, jika tidak terjadi kemalangan, apabila pemandu tersebut tersedar daripada microsleep, kepala dia akan berasa pening disebabkan terkejut ataupun tersentak daripada microsleep tersebut.
Jika terjadinya perkara tersebut disarankan kepada pemandu supaya berhenti untuk berehat seketika sebelum meneruskan perjalanan.
Secara kesimpulannya, semuanya berdasarkan tidur yang kita jaga. Jika kita menjaga tidur kita di waktu malam kita tidak akan mudah terkena serangan penyakit seperti microsleep.
Sentiasa menjaga tidur yang cukup supaya badan sentiasa dalam keadaan sihat dan cergas. Di samping itu, disaran meminum air yang mempunyai kafein seperti kopi sebelum memulakan perjalanan kerana kopi juga berperanan untuk menahan mata daripada tidur.
Penyebab utama kopi boleh menahan mengantuk adalah dari kandungan kafein di dalamnya. Kafein pada kopi boleh merangsang sistem saraf pusat kita.
Walaupun kopi boleh menahan mengantuk tetapi kesannya tidak bertahan lama.
Menurut penelitian dari Academy of Sleep Medicine, kopi hanya boleh menghilangkan rasa ngantuk selama 5 jam sahaja.
Jika terdapat simptom-simptom microsleep, berhentikan kereta dan berehat sebentar di kedai makan ataupun tidur sebentar sebelum meneruskan perjalanan. - DagangNews.com
Muhammad Iqmal Fatthoni Hadi Suhardi adalah Pelajar Komunikasi Media Baharu, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan Universiti Sains Islam Malaysia