Microsoft hentikan Prestariang Systems sebagai rakan saluran bermula 31 Januari 2021 | DagangNews Skip to main content

Microsoft hentikan Prestariang Systems sebagai rakan saluran bermula 31 Januari 2021

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 15 Sept. - Microsoft Regional Sales Pte. Ltd. (Microsoft) tidak akan meneruskan peranan anak syarikat Prestariang Berhad (Prestariang), Prestariang Systems Sdn. Bhd. (PSSB) sebagai rakan saluran bermula 31 Januari 2021. 

Perkara itu didedahkan Prestariang yang menawarkan perkhidmatan teknologi serta perisian menerusi pengumuman syarikat di Bursa Malaysia hari ini. 

Sebelum ini, PSSB telah memperbaharui perjanjian sebagai rakan saluran Microsoft berkuatkuasa 1 Oktober 2019.

“Syarikat ketika ini sedang menilai impak daripada keputusan Microsoft dan berniat untuk menghubungi Microsoft bagi mendapatkan penjelasan lanjut.

“Syarikat akan membuat pengumuman kemas kini yang relevan berhubung perkara tersebut,” jelas Prestariang.

Berdasarkan laman web Prestariang, pihaknya mempunyai 13 tahun pengalaman dalam menawarkan produk dengan kerjasama Microsoft sebagai Penyedia Penyelesaian Perlesenan (LSP). 

Pada Julai 2019, Prestariang menerusi PSSB berjaya mendapatkan kontrak bernilai RM22.94 juta bagi menyalurkan lesen perisian, produk dan perkhidmatan Microsoft kepada Kementerian Pendidikan. 

Setakat 10.46 pagi, saham Prestariang diniagakan pada RM0.715 dengan jumlah saham 113,087. - DagangNews.com