MIDF buat penilaian berhati-hati pertumbuhan bisnes Padini | DagangNews Skip to main content

MIDF buat penilaian berhati-hati pertumbuhan bisnes Padini

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 9 Dis. - Walaupun prospek Padini Holdings Berhad (Padini) dijangka bertambah baik tahun depan, namun MIDF Research masih berhati-hati terhadap pertumbuhan perniagaan syarikat itu. 

 

“Terutamanya, Retail Group Malaysia menjangkakan segmen fesyen dan aksesori fesyen akan merudum 24.2% pada suku keempat tahun kewangan 2020 (4Q20) dan menjangkakan jualan runcit kekal mencabar memasuki 2021 dengan kadar pertumbuhan 4.9%,” kata MIDF dalam nota kajiannya hari ini. 

 

Menurut nota kajian sama, Padini masih lagi dalam fasa berhati-hati berhubung prospek jangka masa pendek syarikat itu walaupun terdapat beberapa peluang. 

 

Pertumbuhan jualan dalam talian syarikat itu tidak cukup untuk menampung penurunan kehadiran pelanggan ke kedai-kedainya.

 

Jualan dalam talian Padini menyumbang kurang daripada 1% kepada hasil syarikat.

 

Disebabkan itu, syarikat berkenaan merancang untuk menambah baik lagi pendedahan digital dengan mempertimbangkan penutupan kedai-kedai yang tidak berprestasi. 

 

“Kami tidak menjangkakan penutupan kedai-kedai itu menjejaskan hasil dan keuntungan bersih syarikat itu kerana sumbangan yang sedikit daripada kedai tersebut,” tambah MIDF. 

 

Sehubungan itu, MIDF mengekalkan saranan ‘neutral’ terhadap saham Padini dengan harga sasaran (TP) bernilai RM2.48.

 

Pada suku pertama tahun kewangan 2021 (1Q21), syarikat itu menerima manfaat daripada perbelanjaan sewa yang lebih rendah. 

 

Bagaimanapun, kelebihan sewa itu hanya sementara dan kurang daripada 10 kedai Padini memperbaharui sewa memasuki FY21.

 

Dalam pada itu, Padini turut menutup operasi di Indonesia selepas menamatkan perjanjian francais sejak penghujung September. 

 

Terdapat lapan kedai Padini yang bertapak di negara itu. 

 

Bagaimanapun, syarikat itu mungkin mempertimbangkan untuk memasuki semula pasaran berkenaan selepas keadaan perniagaan di Malaysia kembali stabil. - DagangNews.com