Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]
KUALA LUMPUR 11 Jan - MIDF Research mengekalkan panggilan POSITIF bagi sektor perladangan dengan harga sasaran minyak sawit mentah (MSM) pada tahun ini sebanyak RM3,300/tan metrik.
Dalam nota penyelidikannya MIDF Research berkata, dari segi harga, pada Disember 2021, purata harga spot MSM menurun sebanyak -4.62% bulan ke bulan (mom) kepada RM5,085.05/ tan metrik daripada RM5,331.60/tan metrik pada bulan sebelumnya.
Harga MSM tertinggi dicatatkan pada 7 Disember 2021, pada RM5,272.50 / tan metrik.
Ujarnya, purata harga spot MSM 2021 melonjak +59.3% tahun ke tahun (yoy) kepada RM4,429.52 daripada RM2,781.14/ tan metrik tahun sebelumnya.
"Kami percaya keadaan bekalan minyak sawit yang terhad mungkin akan berkurangan pada 2022 disebabkan pengeluaran yang lebih tinggi.
"Selaras dengan itu, kami menjangkakan stok simpanan akan bertambah baik sedikit dan akhirnya kembali ke tahap pra-pandemik, berlegar sekitar 2 juta tan metrik hingga 3 juta tan metrik.
"Dari segi permintaan, kami menjangkakan permintaan eksport yang lebih baik berikutan aktiviti penyimpanan semula yang lebih rancak menjelang sambutan Tahun Baharu Cina," katanya dalam nota penyelidikannya di sini hari ini.
Tambah firma penganalisis itu, walaupun kebimbangan semakin berkurangan, pihaknya tidak menjangkakan penurunan drastik dalam harga MSM tahun depan dan menjangkakan harga MSM akan kekal menggalakkan pada 2022.
"Namun begitu, kami bimbang kos pengeluaran yang lebih tinggi yang mungkin dipengaruhi oleh kos vaksinasi dan kuarantin membawa masuk pekerja asing dan harga baja yang lebih tinggi.
"Selain itu, kami berpendapat bahawa harga tinggi semasa MSM akan kembali normal pada masa hadapan tetapi pada kadar yang perlahan memandangkan pembukaan semula aktiviti ekonomi di peringkat global," katanya. -DagangNews.com