MIDF kekal saranan Beli saham F&N, optimis tidak terjejas dengan Cukai Makmur & Cukai Gula | DagangNews Skip to main content

MIDF kekal saranan Beli saham F&N, optimis tidak terjejas dengan Cukai Makmur & Cukai Gula

Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 8 Nov - MIDF Research mengekalkan saranan 'Beli' bagi saham-saham Fraser & Neave Holdings Berhad (F&N) dengan harga sasaran tidak berubah pada RM33.07.

 

Dalam nota penyelidikannya hari ini, MIDF Research berkata, secara keseluruhan, pihaknya optimis dengan F&N dan mengekalkan anggaran pendapatan Kumpulan sebanyak RM4.468 juta bagi tahun kewangan 2022.

 

"Tetapi risiko kepada saranan 'Beli' kami termasuklah cukai yang lebih tinggi dikenakan bagi Cukai Makmur dan cukai korporat pendapatan sumber asing," katanya di sini hari ini.

 

Tambahnya, pengiraan Cukai Makmur dikenakan pada peringkat entiti, bukan peringkat kumpulan dan F&N mempunyai beberapa entiti yang sah dan tidak satu pun mempunyai pendapatan bercukai melebihi RM100 juta. 

 

"Walau bagaimanapun, kebimbangan yang munasabah adalah mengenai penghapusan pengecualian cukai korporat untuk pendapatan sumber asing. 

 

"Sehingga kini, keuntungan operasi F&N Thailand berjumlah 81.3% daripada jumlah keuntungan operasi," katanya. 

 

Sementara itu mengenai impak pelaksanaan cukai gula ke atas F&N, MIDF berkata, lebih 90% produk F&N dijangka dikecualikan daripada dikenakan cukai berkenaan.

 

"F&N menyatakan kebanyakan produknya tidak termasuk dalam kategori bercukai gula tidak seperti beberapa pesaingnya," katanya.

 

 Untung bersih F&N bagi suku keempat tahun kewangan 2021 merosot -3.63% tahun ke tahun kepada RM395.2 juta apabila hasil merosot sebanyak -15.4% tahun ke tahun kepada RM896.3 juta. 

 

 "Kedua-dua penurunan itu disumbangkan oleh hasil F&N Malaysia yang lebih rendah selepas musim perayaan Hari Raya Puasa dan kesan perintah kawalan pergerakan (PKP) penuh.  

 

"Penutupan di Thailand dankadar pertukaran MYR/THB yang lebih lemah juga menyebabkan hasil F&N Thailand yang lebih rendah tetapi sebahagiannya dikurangkan oleh hasil eksport yang lebih tinggi disebabkan pesanan baharu yang diperolehi," katanya. -DagangNews.Com