Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 25 Feb. - Jangkaan inflasi terhadap Indeks Harga Pengguna (IHP) bagi tahun 2021 dikekalkan sebanyak 1.8%.
MIDF Research berkata, tekanan inflasi pada 2020 sebahagian besarnya tidak terjadi pada 2020 susulan permintaan yang lemah serta rebat bil diskaun elektrik yang diberikan oleh kerajaan.
"Namun, untuk tahun ini, harga barangan dijangka meningkat berikutan harga minyak mentah yang lebih tinggi di samping permintaan yang semakin meningkat akibat pemulihan ekonomi.
"Pelaksanaan program vaksinasi di negara ini juga meningkatkan sentimen pengguna sekali gus mendorong berlakunya perbelanjaan.
"Pengguna mungkin mula membuat perbelanjaan terhadap barangan bukan keperluan susulan prospek pendapatan yang lebih baik menjelang akhir tahun ini," jelas MIDF Research.
Tambah MIDF Research, meskipun rebat elektrik yang diberikan kerajaan berterusan hingga Jun 2021, kadar tersebut adalah lebih rendah berbanding tahun lalu.
Menilai kepada perkara tersebut, jangkaan inflasi 1.8% dikekalkan pada 2021.
Semalam, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mengumumkan IHP pada Januari 2021 yang menyaksikan penyusutan sebanyak 0.2% kepada 122.1 berbanding 122.4 pada bulan sama tahun sebelumnya.
Penurunan IHP keseluruhan itu disebabkan oleh penurunan indeks Pengangkutan (-5.1%); Perumahan, Air, Elektrik, Gas & Bahan Api Lain (-0.7%); Pakaian & Kasut (-0.4%) dan Restoran & Hotel (-0.1%) yang menyumbang 44.5% kepada keseluruhan wajaran.
Bagaimanapun, Makanan & Minuman Bukan Alkohol meningkat 1.5% kepada 136.1 berbanding 134.1 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.
Baca: Indeks Harga Pengguna Januari susut 0.2%
Lima negeri iaitu Terengganu (0.3%), Selangor & Wilayah Persekutuan Putrajaya (0.2%), Kelantan (0.2%), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (0.1%) dan Pahang (0.1%) menunjukkan peningkatan melepasi paras IHP nasional -0.2% pada Januari 2021 berbanding Januari 2020.
MIDF Research memberitahu, penurunan IHP sebanyak -0.2% itu menghampiri jangkaan yang diletakkan pihaknya iaitu -0.5%.
"Peningkatan ketara dapat dikaitkan dengan sumbangan dua indeks utama iaitu perumahan & utiliti serta pengangkutan yang mencatatkan penurunan harga yang jauh lebih rendah pada Januari 2021," kata MIDF Research. - DagangNews.com