MIDF kekalkan anggaran pendapatan 2022 Litrak pada RM195.1 juta | DagangNews Skip to main content

MIDF kekalkan anggaran pendapatan 2022 Litrak pada RM195.1 juta

Oleh NABILA YASMIN RAZIB 
nabila@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 26 Nov - MIDF Research mengekalkan anggaran pendapatan bagi tahun kewangan 2022 Lingkaran Trans Kota Holdings Berhad (Litrak) sebanyak RM195.1 juta walaupun pengendali lebuhraya itu mencatatkan keuntungan selepas cukai yang lebih lemah daripada jangkaan bagi tempoh 6 bulan tahun kewangan 2022.

 

MIDF Research berkata, unjuran itu kekal kerana pihaknya menjangkakan baki suku tahun akan mencatatkan pemulihan yang ketara dalam volum trafik lebuhraya selepas sekatan perjalanan antara daerah dan antara negeri telah ditarik balik.

 

"Pendapatan untuk 6 bulan tahun kewangan 2022 Litrak sebanyak RM75.4 juta berada di bawah jangkaan, membentuk 39% daripada anggaran tahun kewangan 2022 kami dan konsensus tahun penuh.

 

"Bagaimanapun kami mengekalkan panggilan BELI ke atas syarikat dengan harga sasaran yang tidak berubah sebanyak RM4.60 sesaham.

 

"Dari segi sejarah, hasil dividen Litrak secara konsisten melebihi 4%, yang kami percaya merupakan cadangan yang menarik untuk pelabur," katanya dalam nota penyelidikannya di sini hari ini.

 

Kumpulan itu mencatatkan pendapatan RM146.6 juta merosot 13.5% tahun ke tahun dalam tempoh 6 bulan disebabkan pelaksanaan  PKP Penuh dan PKPD. 

 

Walaupun sekatan pergerakan turut dikenakan pada tahun sebelumnya, kesannya lebih besar pada tahun semasa. 

 

Hasilnya, Litrak mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM101.3 juta, susut 20.2% tahun ke tahun.

 

"Selain itu, terdapat bahagian kerugian dalam Kumpulan SPRINT sebanyak RM1.6 juta berbanding keuntungan sebanyak RM10.5 juta dalam tempoh sama, namun untung sebelum cukai yang lebih rendah telah diimbangi oleh perkara yang dinyatakan di atas. 

 

"Secara kumulatif, kumpulan itu merekodkan untung selepas cukai sebanyak RM75.4 juta," katanya. -DagangNews.com