MIDF kekalkan saranan 'jual' saham AirAsia Group | DagangNews Skip to main content

MIDF kekalkan saranan 'jual' saham AirAsia Group

AirAsia Group Bhd.

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 25 Sept. - MIDF Research mengekalkan saranan 'jual' saham AirAsia Group Berhad.

MIDF Research berkata, pengekalan saranan itu dibuat berdasarkan kepada penilaian prestasi suram yang sedang dihadapi oleh syarikat penerbangan tersebut.

"Kami tidak pasti bagaimana norma baharu akan mengubah permintaan pengguna terhadap perjalanan udara. Kami percaya bahawa ada kemungkinan pasaran ini akan berlaku pengecilan susulan penguncupan ekonomi serantau.

"Kami kekalkan saranan 'jual' terhadap saham AirAsia Group kerana kami tetap berhati-hati dengan penilaian suram yang sedang dihadapi oleh syarikat penerbangan ini," jelas MIDF Research.

Semalam, AirAsia melancarkan cabang perniagaan digital yang dijenamakan semula iaitu AirAsia Digital.

Cabang perniagaan tersebut sebelum ini telah dilancarkan pada tahun 2018 dengan nama RedBeat Ventures.

Jelas MIDF Research, langkah digital itu menunjukkan kesungguhan pihak AirAsia dalam mempelbagaikan pendapatan terasnya daripada model perniagaan syarikat.

Meskipun tahap pemasaran digital syarikat tersebut dilihat agresif, namun masih terlalu awal untuk MIDF Research membuat anggaran sumbangan pendapatan daripada segmen tersebut.

"Bagaimanapun, kami melihat perkembangan tersebut dengan baik kerana menunjukkan semangat keusahawanan yang berterusan, semangat inovatif dan langkah berhati-hati sepanjang tempoh wabak COVID-19.

"Kami kekalkan sasaran harga sesaham sebanyak RM0.40 bersama jangkaan kerugian bersih yang dijangkakan pada tahun kewangan 2020 dan 2021 selain mencerminkan keadaan industri penerbangan yang tidak menentu," jelas MIDF Research. - DagangNews.com