Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 17 Sept. - Kerajaan Malaysia dilihat mempunyai kemampuan untuk menguruskan jumlah hutang awam yang lebih tinggi.
MIDF Research berkata, kemampuan tersebut dinilai berdasarkan kepada langkah proaktif kerajaan dalam mengatasi kejatuhan ekonomi isi rumah dan perniagaan di negara ini.
"Sejurus selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diumumkan, kerajaan telah berjaya memperkenalkan pakej rangsangan fiskal yang besar untuk mendepani krisis.
"Kenaikan sementara terhadap had hutang negara kepada 60% dalam KDNK hingga akhir 2022 akan memberi fleksibiliti fiskal yang lebih besar sekali gus membolehkan kerajaan menyuntik lebih banyak rangsangan fiskal negara sekiranya perlu," jelas MIDF Research.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, jumlah hutang kerajaan meningkat dengan stabil.
Sejak akhir 2008 hingga akhir 2019, jumlah hutang kerajaan meningkat hampir tiga kali ganda daripada RM306 bilion kepada RM792 bilion.
Berdasarkan jumlah tersebut, jumlah hutang tertunggak meningkat 7.2% dalam kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) dalam tempoh 11 tahun hingga 2019.
Dalam nota kajian yang sama, MIDF Research memberitahu, pihaknya turut menilai kemampuan negara berdasarkan kepada pengukuhan nilai ringgit Malaysia yang akan menjadi faktor kepada kerajaan untuk menguruskan jumlah hutang luarannya.
"Pengukuhan ringgit Malaysia akan menjadi perkembangan positif kepada kerajaan untuk menguruskan hutang luarannya.
"Dalam keadaan ekonomi sedang pulih, kami mengharapkan kerajaan dapat meningkatkan keseimbangan fiskal secara keseluruhan seperti sebelum krisis wabak untuk jangka masa sederhana dan panjang.
"Sebaliknya, jika keadaan ekonomi kembali bermasalah, kerajaan mempunyai ruang untuk memberi rangsangan tambahan dan sokongan fiskal kepada ekonomi negara," jelasnya. - DagangNews.com