MIDF optimis harga MSM kekal RM3,000 hingga Jun depan | DagangNews Skip to main content

MIDF optimis harga MSM kekal RM3,000 hingga Jun depan

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 13 April - Firma penyelidikan, MIDF Research percaya harga minyak sawit mentah (MSM) akan kekal pada paras RM3,000 bagi separuh pertama 2021 (1H21).

 

Jangkaan itu dibuat berdasarkan ramalan bekalan yang terhad selain harga MSM lebih menarik berbanding minyak boleh dimakan lain seperti minyak kacang soya. 

 

“Kami melihat landskap sedia ada akan mendorong kepada peningkatan kukuh harga MSM. Kami menjangkakan bekalan kacang soya yang terhad terutamanya dari Argentina akan menyebabkan harganya yang tinggi, sekali gus menyumbang kepada harga jualan minyak mentah kacang soya yang juga tinggi. 

 

“Dalam pada itu, paras inventori minyak sawit yang menyusut di Malaysia akan bertindak sebagai pemangkin kepada harga MSM. Kami juga percaya bekalan terhad minyak sawit akan kekal sehingga suku kedua 2021 (2Q21), memandangkan output lebih lemah selepas puncak pengeluaran,” jelas MIDF dalam nota kajiannya.

 

Pada bulan lalu, purata harga semerta MSM melonjak sebanyak +3.9% bulan ke bulan (m-o-m) kepada RM4067.17 setiap tan metrik (mt) daripada RM3915.36 setiap mt.

 

Bagaimanapun, memasuki 2H21, MIDF tidak menolak kemungkinan harga MSM akan mereda kerana paras pengeluaran yang lebih baik susulan musim hujan yang merancakkan kadar hasil buah sawit.

 

Dari segi permintaan eksport, MIDF percaya aspek itu akan pulih dipacu oleh pemulihan beransur-ansur dalam aktiviti ekonomi di India dan China serta permintaan lebih tinggi dari China selepas minyak sawit merah dibenarkan memasuki negara itu.

 

Baca : Malaysia kini boleh eksport minyak sawit merah ke China

 

“Selepas mengambil kira semua faktor, kami mengekalkan penarafan ‘positif’ terhadap sektor perladangan dengan harga MSM bagi 2021 diunjur RM3,000 setiap mt,” tambah MIDF lagi.

 

Pada Mac 2021, kadar eksport minyak sawit juga meningkat sebanyak +31.8% m-o-m kepada 1.18 juta mt daripada 0.70 juta mt pada bulan sebelumnya. 

 

Faktor yang mendorong kepada peningkatan itu adalah stok semasa yang rendah selain aktiviti menyimpan stok menjelang bulan Ramadan terutamanya dari India, jelas MIDF.

 

Dari segi perkembangan sektor minyak sawit di Sri Lanka, MIDF tidak melihat tindakan negara itu akan memberi impak besar buat eksport Malaysia. 

 

Ini susulan Sri Lanka hanya menyumbang 0.4% hingga 0.8% daripada jumlah eksport minyak sawit negara. 

 

Bagi MIDF, permintaan eksport minyak sawit Malaysia dijangka meningkat dipacu oleh permintaan yang kian bertambah dari Timur Tengah, Filipina dan Vietnam.

 

Ketika ini, Presiden Sri Lanka, Gotabaya Rajapaksa menguatkuasakan sekatan import minyak sawit dengan serta-merta, selain menghalang daripada pembukaan ladang sawit baharu. 

 

“Kami mendapati syarikat-syarikat yang telah melaksanakan penanaman kelapa sawit diarahkan untuk ‘menyingkirkannya’ secara bertahap sekaligus menggantinya dengan tanaman yang mesra alam sekitar seperti getah.

 

“Ini bertujuan menjadikan Sri Lanka bebas daripada ladang dan penggunaan minyak sawit memandangkan pengeluarannya dikatakan menyebabkan penebangan hutan yang luas dan merosakkan ekosistem,” tambah MIDF. - DagangNews.com