MIDF Research jangka bahagian kren jadi penyumbang utama pendapatan Muhibbah Engineering | DagangNews Skip to main content

MIDF Research jangka bahagian kren jadi penyumbang utama pendapatan Muhibbah Engineering

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 1 Mac - MIDF Research mengunjurkan pendapatan Muhibbah Engineering Berhad akan bertambah baik selaras dengan pembukaan ekonomi dan menjangkakan bahagian kren akan menjadi penyumbang utama kepada kumpulan itu.

 

Firma penyelidikan itu berkata, bahagian itu menyumbang 76% jualan daripada pasaran luar negara.

 

"Bagi konsesi lapangan terbang, kami menjangkakan perniagaan akan terus meningkat secara perlahan kerana angka untuk kes COVID-19 masih tinggi selain itu Kerajaan Kemboja juga mebenarkan individu yang sudah menerima vaksin penuh untuk ke negara itu sejak November 2021," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, pendapatan bagi FY2021 menurun sebanyak 16% kepada RM1 bilion akibat kesan daripada COVID-19 terhadap segmen pembinaan dan perniagaan konsesi lapangan terbang namun berjaya diimbangi oleh hasil yang lebih tinggi daripada bahagian kren.

 

Konsesi perniagaan Muhibbah Engineering di lapangan terbang Kemboja juga mengalami kerugian akibat ketiadaan pelancong ekoran sekatan perjalanan namun pembukaan semula lapangan terbang sejak 4QCY21 mula menunjukkan peningkatan pelancong.

 

Firma penyelidikan itu menjangkakan, prestasi kewangan untuk segmen pembinaan infrastruktur akan bangkit seperti sebelum pra pandemik dengan kerajaan membenarkan 100% kapasiti di tapak pembinaan.

 

Kumpulan itu memiliki tempahan yang sangat baik bernilai RM826 juta dengan segmen pembinaan dan kren masing-masing menyumbang sebanyak 36.6% (RM302 juta) dan 63.4% (RM524 juta) yang dilihat akan menyokong pendapatan mereka untuk tempoh sederhana panjang.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'neutral' untuk saham Muhibbah Engineering dengan harga sasaran RM0.78 berbanding RM0.89 sebelum ini akibat ketidaktentuan yang timbul dari segi pendapatan. - DagangNews.com