MIDF Research jangka Globetronics catat pertumbuhan konsisten dipacu produk penderia berteknologi tinggi | DagangNews Skip to main content

MIDF Research jangka Globetronics catat pertumbuhan konsisten dipacu produk penderia berteknologi tinggi

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 27 Julai - MIDF Research menjangkakan Globetronics Technology Berhad akan terus mencatatkan pertumbuhan lebih konsisten untuk jangka panjang bagi produk penderia berteknologi tinggi yang boleh dimanfaatkan dalam pelbagai aplikasi.

 

Firma itu berkata, perkara itu akan disokong terutamanya oleh penderia pintar generasi baharu termasuk penderia cahaya, gerak isyarat dan gerakan.

 

"Sebagai tambahan, pemulihan dalam pasaran automotif juga akan memberikan kelebihan kepada kumpulan itu termasuk perniagaan LED," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, untung bersih 2QFY22 berakhir 30 Jun 2022 melonjak 79% kepada RM11.19 juta daripada RM6.25 juta setahun lalu disumbangkan daripada keuntungan pertukaran asing yang lebih tinggi, manakala campuran produk yang lebih baik membawa kepada jualan yang lebih tinggi.

 

Pada masa sama, pendapatan kumpulan itu adalah 2.7% lebih tinggi iaitu RM47.64 juta pada 2QFY22 berbanding RM46.4 juta setahun lalu.

 

Firma itu berkata, secara kumulatif, pendapatan normal 1HFY22 berjumlah RM18.7 juta adalah lebih rendah berbanding jangkaan dan pendapatan konsensus selepas masing-masing menyumbang 32% dan 36% daripada anggaran pendapatan.

 

"Kumpulan itu melaporkan hasil yang lebih rendah sebanyak RM90.3 juta berbanding RM101.8 juta dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya.

 

"Jualan daripada segmen Asia Tenggara menurun kepada RM87.2 juta berbanding RM96.0 pada 1HFY21," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM1.94. - DagangNews.com