MIDF Research jangka IGB REIT terus terima manfaat daripada pembukaan semula sektor ekonomi | DagangNews Skip to main content

MIDF Research jangka IGB REIT terus terima manfaat daripada pembukaan semula sektor ekonomi

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 28 Julai - MIDF Research mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM1.78 terhadap IGB Real Estate Investment Trust (IGB REIT).

 

Firma itu berkata, saranan itu dibuat kerana aset runcitnya yang berkualiti iaitu Mid Valley Megamall dan The Gardens Mall akan menerima manfaat daripada peningkata bilangan pembeli berikutan pembukaan semula sektor ekonomi.

 

"Kadar penghunian untuk kedua-dua pusat beli belah itu kekal stabil pada paras 100%," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, pendapatan bersih bagi suku kedua IGB REIT berakhir 30 Jun 2022 melonjak 67.4% tahun ke tahun kepada RM105.7 juta apabila jumlah hasil melonjak sebanyak 57.5% tahun ke tahun kepada RM133.7 juta.

 

Jumlah hasil, pendapatan bersih hartanah dan keuntungan selepas cukai yang lebih tinggi adalah disebabkan sewa yang lebih rendah yang diberikan kepada penyewa pada suku semasa, hasil daripada pembukaan semula ekonomi dan peningkatan jualan runcit penyewa.

 

Untung bersih mereka juga melonjak 88.4% kepada RM83.5 juta manakala pendapatan seunit meningkat kepada 2.33 sen untuk tempoh sama.

 

Firma itu menyemak naik unjuran pendapatan IGB REIT bagi FY22/23F sebanyak 6.6% dan 6%.

 

"Kami kekal positif terhadap unjuran pendapatan di IGB REIT kerana kami melihat pemulihan dalam bilangan pembeli di Mid Valley Megamall dan The Gardens Mall yang seharusnya menyokong pertumbuhan masa hadapan," katanya. - DagangNews.com