MIDF Research kekal berhati-hati prospek purata harga jualan sarung tangan getah akibat lebihan bekalan dan persaingan | DagangNews Skip to main content

MIDF Research kekal berhati-hati prospek purata harga jualan sarung tangan getah akibat lebihan bekalan dan persaingan

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 7 Feb - MIDF Research kekal berhati-hati terhadap prospek purata harga jualan (ASP) sarung tangan getah pada masa hadapan susulan beberapa faktor termasuk soal lebihan bekalan.

 

Menurut firma penyelidikan itu, selain isu bekalan, terdapat dua lagi faktor yang diambil kira berhubung ASP iaitu persaingan sengit industri dan juga pelanggan yang sensitif pada harga.

 

"Dari segi positif, kami menjangkakan peningkatan dalam jumlah jualan dan kadar penggunaan susulan penyusutan inventori selepas pandemik," katanya dalam nota kajian mengenai Hartalega Holdings Berhad hari ini.   

 

Kata MIDF Research, setelah kilang Bestari Jaya ditutup yang dijangka suku pertama 2024, ia berkemungkinan meningkatkan lagi kadar penggunaan kapasiti, meningkatkan kecekapan pengeluaran, mengurangkan kos pengeluaran seunit dan meningkatkan margin keuntungan Hartalega. 

 

Sehubungan itu, MIDF Research mengekalkan saranan 'Neutral' terhadap Hartalega dengan harga sasaran (TP) baharu, RM2.45 sesaham berbanding RM2.20.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Pendapatan Hartalega bagi 9MFY24 susut 30.9% kepada RM1.3 bilion akibat jualan yang lebih rendah

 

Firma penyelidikan itu turut membuat semak turun kepada unjuran pendapatan Hartalega yang dijangka menyusut sebanyak 48.6% bagi tahun kewangan 2024.

 

Katanya, ini selepas mengambil kira jumlah jualan yang rendah disebabkan kelewatan dalam penghantaran tempahan pelanggan di tengah-tengah konflik Laut Merah.

 

"Selain itu, ASP yang dijangka lebih rendah iaitu AS$19.80 untuk 1,000 keping berbanding AS$20.50/1,000 keping disebabkan persaingan harga berterusan.

 

"Persaingan ini bukan sahaja dari syarikat pembuat sarungan tangan getah China tetapi juga dari syarikat Thailand dan Malaysia sendiri," ujarnya.

 

Bagaimanapun bagi tahun kewangan 2025-2026, MIDF Research mengekalkan unjuran pendapatan Hartalega selepas mengambil kira pelanggan akan kembali menambah stok.

 

"Ini akan bermula 2025 susulan penyusutan atau tamat tempoh di inventori yang dibeli ketika tempoh pandemik," katanya.- DagangNews.com