MIDF Research kekal neutral terhadap sektor sawit, saham Ta Ann jadi pilihan utama | DagangNews Skip to main content

MIDF Research kekal neutral terhadap sektor sawit, saham Ta Ann jadi pilihan utama

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 15 Jan - MIDF Research kekal neutral terhadap sektor sawit dengan harga purata minyak sawit mentah (MSM) pada 2024 diunjurkan RM3,600 satu tan.

 

Firma penyelidikan itu turut menyenaraikan Ta Ann Holdings Berhad (Ta Ann) sebagai pilihan utama baharu dengan harga sasaran RM4.25 sesaham.

 

"Ta Ann adalah penggiat huluan semata-mata dan harga saham sangat berkait dengan pergerakan MSM kira-kira 0.82 korelasi, justeru sebarang trajektori menaik dalam harga MSM (disebabkan oleh El-Nino yang akan datang pada suku kedua 2024) akan menyediakan peluang dagangan saham.

 

"Kami menjangkakan fenomena El-Nino (yang akan mengurangkan bekalan) boleh menjadi pemangkin berpotensi untuk harga MSM kekal tinggi pada bulan-bulan berikutnya kira-kira RM3,600 hingga RM3,900 setiap tan," kata MIDF Research dalam nota kajian hari ini.

 

Bagaimanapun, firma itu turut bimbang tentang prospek produk hiliran Ta Ann memandangkan tekanan inflasi pada paras tinggi dan perbelanjaan isi rumah yang ketat disebabkan oleh kadar tinggi faedah asas di dalam dan di seluruh dunia menghalang permintaan.

 

Pada rehat tengah hari, saham Ta Ann meningkat 6 sen atau 1.6 peratus kepada RM3.71 sesaham dengan permodalan pasaran bernilai RM1.65 bilion.

 

Sementara itu, MIDF Research dalam nota itu turut menyentuh permintaan minyak sawit di Malaysia yang mana negara ini mencatatkan penggunaan 18 peratus lebih tinggi berbanding kadar global.

 

Malah, penggunaan minyak masak sawit dalam kalangan isi rumah di Malaysia mengatasi Thailand, Peru, Indonesia dan India.

 

Kata firma itu, data Euromonitor menunjukkan kira-kira 70 peratus minyak makan di Malaysia adalah produk sawit disebabkan faktor harga berbanding produk lain.

 

"Pertumbuhan masa depan bagi segmen minyak makan sawit terletak pada peralihan dalam format pembungkusan dengan pengguna kini lebih memilih 99 Speedmart kerana faktor harga dan akses. 

 

"Pengusaha gerai, warung atau kiosk jalanan juga bersedia untuk memacu pertumbuhan (sawit) untuk tahun ini susulan tiada lagi perancangan kerajaan untuk melaksanakan perintah kawalan pergerakan," kata penganalisis MIDF mengimbas kembali pembentangan ahli panel pada Persidangan dan Seminar Minyak Sawit 2024 di ibu negara baru-baru ini. - DagangNews.com