MIDF Research kekal unjuran inflasi Malaysia pada paras 3% tahun ini | DagangNews Skip to main content

MIDF Research kekal unjuran inflasi Malaysia pada paras 3% tahun ini

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 20 Okt - MIDF Research mengekalkan unjuran inflasi Malaysia pada paras 3% untuk 2023.

 

Katanya, bagi tempoh sembilan bulan tahun ini, purata inflasi makanan meningkat kepada 5.5% berbanding tahun ke tahun dan ia hampir menyamai paras 5.7% pada tahun lalu. 

 

"Kami menjangkakan inflasi makanan kekal berada dalam lingkungan antara 5.5% hingga 6% pada separuh kedua tahun ini disebabkan persekitaran luar yang mencabar terutamanya bagi hasil pertanian global," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

BACA JUGA: Inflasi Malaysia terus mereda kepada 1.9% pada September 2023 - DOSM

 

Terdahulu, peningkatan inflasi itu telah didorong oleh kenaikan lebih rendah bagi kumpulan restoran & hotel, 4.4% dan makanan & minuman bukan alkohol, 3.9%. 

 

Peningkatan turut disumbangkan oleh kenaikan kumpulan pelbagai barangan & perkhidmatan (2.5%); kesihatan (2.2%); pendidikan (2.0%); perumahan, air, elektrik, gas & bahan api lain (1.6%) dan hiasan, perkakasan & penyelenggaraan isi rumah (1.5%). 

 

Manakala minuman alkohol & tembakau dan perkhidmatan rekreasi & kebudayaan masing-masing meningkat sebanyak 0.7% dan 0.6%.

 

Firma penyelidikan itu berkata, susut nilai ringgit yang panjang antara lain akan membawa kepada inflasi import yang lebih tinggi terutamanya melalui harga makanan kerana Malaysia adalah pengimport bersih bagi kebanyakan produk makanan.

 

Inflasi bukan makanan dijangka purata pada 1.5% tahun ini. - DagangNews.com