MIDF Research optimis terhadap prospek pendapatan KKB Engineering | DagangNews Skip to main content

MIDF Research optimis terhadap prospek pendapatan KKB Engineering

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 7 Sept - MIDF Research optimis terhadap prospek pendapatan KKB Engineering Berhad terutama selepas kumpulan itu mencatatkan kenaikan harga saham baru-baru ini.

 

Firma itu berkata, kaunter itu memerhatikan kenaikan harga selepas mengeluarkan keputusan kewangan 2QFY22 pada 18 Ogos 2022 dan sejak itu mereka mencatatkan kenaikan 15 sen atau 11.3% sejak itu kepada RM1.48 sesaham, semalam.

 

Katanya, peluang untuk mendapatkan projek baharu masih banyak di Sarawak dengan kerajaan negeri mengunjurkan suntikan modal kira-kira RM100 bilion menjelang 2030.

 

"Kami menjangkakan aliran kerja dalam tempoh terdekat akan datang daripada tawaran semula projek yang tertangguh atau terbengkalai kerana pentadbiran memberi tumpuan kepada membaiki projek sakit, selain melancarkan kerja infrastruktur baharu.

 

"Perbadanan Kemajuan Ekonomi Sarawak (SEDC) milik kerajaan negeri memiliki pegangan 10.7% dalam KKB melalui penempatan persendirian pada 21 Disember 2021 dan KKB berhasrat untuk memanfaatkannya dan meluaskan peluang perniagaan di Sarawak," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

BACA JUGA: KKB raih subkontrak pembinaan kilang sarung tangan, pesanan belian bernilai RM17 juta

 

Terdahulu, kumpulan itu berjaya mendapatkan dua subkontrak untuk pembinaan kilang sarung tangan dan tempahan belian untuk membekalkan silider gas serta injap padat bernilai sekitar RM17 juta.

 

Subkontrak itu memerlukan kumpulan itu untuk membekal, membuat fabrikasi, mengecat dan memasang kerja-kerja struktur untuk cadangan kilang sarung tangan di Taman Perindustrian PetChem di Tanjung Kidurong, Bintulu, juga dikenali sebagai Hab Inovasi dan Teknologi Perubatan Sarawak (SMITH).

 

Kemenangan kedua ialah pesanan pembelian daripada MyGaz Sdn Bhd untuk silinder C14 RQ dan injap padat C14 yang dikeluarkan oleh KKB.

 

Dengan margin konservatif sebanyak 6%, ia akan menyumbang kira-kira RM1 juta pendapatan kepada kumpulan dalam tempoh 10 bulan akan datang.

 

Bagaimanapun, firma itu menyemak turun penarafan kumpulan itu kepada 'neutral' dengan harga sasaran (TP) RM1.50. - DagangNews.com