KUALA LUMPUR 21 Nov - Pembentukan kerajaan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dilihat tidak stabil memandangkan ia hanya membentuk majoriti tipis, demikian menurut MIDF Research.
Malah, jelasnya, walaupun mungkin tidak ada ahli parti yang belot, Ahli Parlimen BN boleh berpaling tadah dari segi sokongan untuk rang undang-undang, Bajet 2023 dan kepada Perdana Menteri.
Katanya, dengan mengandaikan blok lain yang lebih kecil (Warisan dan Bebas – blok DLL) menyokong PH (7 kerusi) bermakna ia hanya memerlukan 8 ahli parlimen BN untuk menarik sokongannya sekali gus menjatuhkan kerajaan PH.
Menurut firma itu, dengan mengandaikan perpecahan sama rata antara Ahli Parlimen BN, dengan 15 kerusi masing-masing memilih Perikatan Nasional (PN) dan PH, ia mungkin dapat melihat PN melepasi ambang 112 (dengan 116 kerusi) untuk membentuk Kerajaan Persekutuan.
"Ini berikutan khabar angin bertiup kencang tentang gabungan mana yang akan disokong oleh BN; dikhabarkan pemimpinnya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah bertemu dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim (pemimpin PH) tetapi satu lagi khabar angin ialah Ahli Parlimen BN (Ahli Parlimen-yang diundi) tidak akan menyokong gabungan PH.
"Perlu diingatkan bahawa Perlembagaan Persekutuan adalah agnostik parti dan tidak menunjukkan bahawa Ahli Parlimen atau Ahli Parlimen yang dipilih perlu mengundi/menyokong dalam barisan parti.
"Oleh itu, mungkin terdapat situasi bahawa sokongan daripada Ahli Parlimen BN yang dipilih berpecah antara PN dan PH.
"Walaupun ini boleh membawa kepada penyingkiran mereka daripada parti, peruntukan pindaan anti-lompat parti kepada Perlembagaan Persekutuan tidak akan terpakai seperti yang dinyatakan dalam Perkara 49A (2) (c)," katanya dalam nota kajian hari ini.
Baca : Zahid bertemu Anwar pagi ini bincang bentuk kerajaan
Kerjasama antara PH dan BN dijangka dimuktamadkan hari ini apabila pemimpin kedua-dua gabungan itu dikatakan akan mengadakan perjumpaan di sebuah hotel pukul 10 pagi ini.
Memetik laporan Malaysiakini, beberapa sumber daripada gabungan itu mengesahkan akan ada pertemuan itu pagi ini bagaimanapun enggan memberitahu tujuan ia diadakan.
Setakat ini belum ada mana-mana gabungan parti yang mampu membentuk kerajaan sehingga meletakkan Parlimen dalam situasi tergantung.
Keputusan rasmi menunjukkan PH memiliki kerusi terbanyak dengan 82 kerusi, diikuti PN dengan 73 kerusi tetapi kedua-duanya gagal melepasi 112 kerusi untuk membentuk kerajaan dan ini memerlukan mereka membentuk kerajaan campuran dengan parti-parti lain.
BN yang menjadi kerajaan sejak merdeka sebelum dikalahkan pada pilihan raya umum Ke-14 (PRU14) pada 2018 pula hanya menguasai 30 kerusi.
Malam tadi, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin sekali lagi mengulangi beliau sudah mendapat bilangan yang cukup untuk dicalonkan sebagai Perdana Menteri, berdasarkan sokongan Ahli Parlimen secara individu.
MIDF Research berkata, setakat laporan itu ditulis, parti-parti politik masih berusaha membentuk kerajaan majoriti untuk dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong pukul 2 petang ini.
"Walaupun kami berharap proses ini akan berakhir dengan cepat, namun kami tidak boleh menolak kemungkinan ia mungkin mengambil masa beberapa hari atau minggu untuk dimuktamadkan.
"Pada masa sama, kami menjangkakan pasaran ekuiti akan memberi reaksi buruk terhadap situasi ini dengan tindak balas negatif yang menarik FBM KLCI lebih rendah dan mungkin mencecah paras sokongan psikologinya pada 1,400 mata. Ini berdasarkan kepada apa yang berlaku ketika PRU14," jelasnya.
Bagaimanapun, menurutnya, sebaik sahaja kerajaan baharu ditubuhkan, pasaran dijangka pulih dengan sewajarnya.
Namun, katanya, kekuatan pemulihan itu bergantung kepada sejauh mana stabilnya kerajaan gabungan baharu itu dilihat oleh pasaran.
"Andaian asas kami ialah PN membentuk kerajaan majoriti bersama GPS, GRS dan juga BN. Pada ketika ini, kami mengekalkan sasaran akhir tahun FBM KLCI kami pada 1,520 mata," katanya. - DagangNews.com