MIDF Research positif langkah pengambilalihan tanah oleh Sunway | DagangNews Skip to main content

MIDF Research positif langkah pengambilalihan tanah oleh Sunway

Pembangunan bercampur dengan GDV RM1.5 bilion turut merangkumi Sunway Velocity Mall, Sunway Velocity Hotel, Sunway Medical Center Velocity, Sunway College @ Velocity, dua menara pejabat dengan keluasan 375,000 kaki persegi dan unit kediaman.

 

 

KUALA LUMPUR 20 April - MIDF Research menjangkakan pengambilalihan tanah seluas 2.67 hektar menerusi anak syarikat milik penuh Sunway Berhad, Sunway Rahman Putra Sdn. Bhd. hanya memberi kesan minimum kepada kunci kira-kira kumpulan itu. 

 

Malah, firma penyelidikan itu juga positif terhadap langkah perbankan tanah itu, berdasarkan kedudukannya yang strategik antara stesen MRT Cochrane dan pembangunan bercampur berorientasikan transit.

 

Menurut penganalisisnya, Jessica Low Jze Tieng, Sunway mempunyai rizab tunai berjumlah RM4.6 bilion setakat tahun kewangan 2020, justeru, gearan bersih diunjur meningkat sedikit kepada 0.26x selepas pengambilahan tanah ini. 

 

"Dalam pada itu, kami jangkakan impak pendapatan yang minimum dalam tempoh terdekat memandangkan projek berkenaan mengambil masa beberapa tahun sebelum boleh menyumbang kepada hasil kumpulan. 

 

"Bagaimanapun, kami mengekalkan unjuran pendapatan bagi tahun kewangan 2021 dan 2022," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Firma itu mengekalkan harga sasaran (TP) Sunway tidak berubah pada RM1.55 sementara menunggu langkah itu selesai.

 

Ia juga mengekalkan pandangan neutral terhadap Sunway memandangkan pemangkin yang terhad bagi kumpulan dalam tempoh terdekat.

 

Semalam, dalam makluman di Bursa Malaysia, Boustead Holdings Bhd. memaklumkan, anak syarikat tidak langsung miliknya, Mutiara Rini Sdn Bhd, memeterai perjanjian jual beli dengan Sunway Rahman Putra untuk cadangan pelupusan tanah pegangan bebas seluas 2.67 hektar di Jalan Cochrane pada harga RM233.39 juta.

 

Sunway Property pula dalam kenyataan berasingan berkata, pembelian tanah itu adalah untuk cadangan pembangunan bercampur yang terdiri daripada pangsapuri servis dan kedai runcit dengan nilai pembangunan kasar (GDV) kira-kira RM1.15 bilion.

 

Pembangunan ini merangkumi Sunway Velocity Mall, pusat membeli-belah seluas satu juta kaki persegi, Sunway Velocity Hotel, sebuah hotel dengan 350 bilik, Sunway Medical Center Velocity, sebuah pusat perubatan yang menyediakan sebanyak 240 katil, Sunway College @ Velocity, dua menara pejabat dengan keluasan
375,000 kaki persegi dan unit kediaman.

 

Jumlah bank tanah Sunway ketika ini berjumlah 1,351,25 hektar dengan nilai pembangunan kasar berpotensi RM52.1 bilion bagi tempoh keseluruhan pembangunan lebih daripada 15 tahun. - DagangNews.com