MIDF Research semak naik AEON Credit  | DagangNews Skip to main content

MIDF Research semak naik AEON Credit 

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 7 Julai - MIDF Research menyemak naik AEON Credit Service (M) Bhd. kepada 'trading buy' berbanding 'neutral' sebelum ini berikutan prestasi kewangan suku pertama yang kukuh. 

 

Firma itu juga mengekalkan harga sasaran tidak berubah pada RM12.90 sesaham.

 

Keuntungan bersih AEON Credit melonjak kepada RM163.09 juta bagi suku pertama tahun kewangan 2022 berakhir 31 Mei 2021 (suku pertama 2022) berbanding RM26.28 juta yang dicatatkan pada suku yang sama tahun lepas. 

 

Penganalisis MIDF Research, Imran Yassin Yusof berkata, prestasi kewangan itu akan membina asas yang kukuh untuk pertumbuhan pendapatan tahun ini dan syarikat akan menjadi antara penerima manfaat utama apabila ekonomi dibuka semula.

 

"Kami juga percaya AEON Credit tidak lagi berdepan situasi buruk, meskipun masih terdapat impak daripada fasa pertama Pelan Pemulihan Negara dan penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD).

 

"Walaupun ia mungkin menyebabkan impak negatif dalam tempoh terdekat seperti kos kredit yang tinggi pada suku kedua tahun kewangan 2022, tetapi kesannya tidak berpanjangan memandangkan kerajaan semakin mempercepatkan program vaksinasi," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Pada suku pertama itu, hasil AEON Credit meningkat 5.4% kepada RM410.97 juta daripada RM389.88 juta sebelum ini.

 

Jumlah transaksi dan pembiayaan pada suku semasa meningkat 80.9% kepada RM1.41 bilion daripada RM778.57 juta yang direkodkan semasa suku pertama 2021, memandangkan prestasinya pada suku tersebut terjejas akibat PKP.

 

Setakat 31 Mei 2021, penghutang pembiayaan kasarnya susut RM460.07 juta kepada RM10.06 bilion, berbanding dalam tempoh sama tahun lepas. 

 

Penghutang pembiayaan bersihnya selepas elaun bagi kerugian rosot nilai adalah RM9.34 bilion menjelang suku pertama 2022 daripada RM9.76 bilion semasa suku pertama 2021, manakala nisbah pinjaman tidak berbayarnya berada pada 1.75% berbanding 1.42% sebelum ini.
 

Pendapatan lain bagi suku semasa dicatat pada RM49.19 juta, merangkumi  pemulihan daripada  hutang lapuk, komisen insurans dan faedah/pendapatan keuntungan daripada deposit dengan institusi kewangan berlesen.

 

MIDF Research turut menyemak semula unjuran pendapatan AEON Credit bagi tahun kewangan 2022 dan 2023 masing-masing dengan meningkat kepada RM327.5 juta dan RM360.3 juta.

 

Dalam dagangan pagi ini, saham AEON Credit menokok 3.4% kepada RM12.18 sesaham dengan 72,300 saham diniagakan. - DagangNews.com