MIDF Research semak naik unjuran inflasi kepada 2.5% pada 2023 | DagangNews Skip to main content

MIDF Research semak naik unjuran inflasi kepada 2.5% pada 2023

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 24 Mac - MIDF Research menyemak naik unjuran inflasi kepada 2.5% bagi 2023.

 

Firma itu berkata, pada tahun ini faktor tolakan penawaran dijangka berkurangan, disebabkan oleh peningkatan nilai ringgit dan pembetulan sederhana dalam harga komoditi global serta aliran rantaian bekalan yang lebih baik.

 

Katanya, berdasarkan Belanjawan 2023 yang dibentangkan semula, firma itu percaya bahawa kerajaan akan mengekalkan subsidi bahan api terutamanya untuk RON95 pada status quo hingga akhir tahun.

 

"Sebarang langkah subsidi RON95 yang disasarkan akan dilancarkan pada 2024. 

 

"Kami meningkatkan unjuran inflasi kami lebih tinggi sebanyak 0.2% mata kepada 2.5% untuk 2023 berikutan unjuran pertumbuhan harga makanan yang lebih tinggi pada 4.5% (unjuran awal: 4%)," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, Indeks Harga Pengguna (IHP), yang mengukur kadar inflasi di Malaysia kekal 3.7% pada Februari 2023, didorong oleh kenaikan 7.4% harga di restoran dan hotel serta peningkatan 7% harga makanan dan minuman bukan alkohol.

 

Namun begitu, peningkatan lebih perlahan bagi kumpulan pengangkutan iaitu 3.7% berbanding Januari 2023 (4%) sedikit sebanyak mengimbangi inflasi daripada terus meningkat.

 

Kenaikan inflasi di Malaysia turut didorong oleh kenaikan harga barangan hiasan, perkakasan & penyelenggaraan isi rumah (3.4%); pelbagai barangan & perkhidmatan (2.5%) dan kesihatan (1.8%).

 

Perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain serta perkhidmatan rekreasi dan kebudayaan masing-masing merekodkan peningkatan 1.7%, manakala pendidikan meningkat 1.6%. - DagangNews.com