KUALA LUMPUR 23 Nov - MIDF Research menyemak turun harga sasaran Muhibbah Engineering (M) Bhd. kepada 47 sen daripada 57 sen sebelum ini berikutan prospeknya masih kekal mencabar dalam tempoh terdekat.
Malah, firma itu juga menyemak turun keuntungan teras bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22) lebih rendah sebanyak 50% kepada RM15.3 juta manakala FY24 sebanyak 29% kepada RM33.6 juta selepas mengambil kira margin yang lebih lemah daripada jangkaan.
Menurutnya, harga saham Muhibbah telah merosot kira-kira 50% setakat tahun ini sejajar dengan prestasinya yang lebih lemah daripada jangkaan, tetapi ia menjangkakan masih terdapat sedikit peningkatan kepada harga sahamnya.
"Tidak dinafikan, tiada keterujaan dalam prestasi kumpulan kerana marginnya yang lebih lemah dalam suku tahun kebelakangan ini tetapi kami menjangkakan ini akan bertambah baik secara beransur-ansur pada suku akan datang dengan trend penurunan harga bahan binaan.
"Kami percaya FY23 akan menjadi masa yang baik untuk Muhibbah meneroka potensi peningkatan dalam aliran kerja apabila projek infrastruktur mula beroperasi, yang akan memanfaatkan kedua-dua bahagian pembinaan dan krennya," katanya dalam nota kajian hari ini.
Berdasarkan keyakinan itu, MIDF Research mengekalkan saranan 'beli' terhadap syarikat kejuruteraan pembinaan itu.
Muhibbah mencatat kerugian bersih sebanyak RM1.28 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2022 daripada keuntungan bersih RM1.28 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya manakala pendapatan meningkat kepada RM253.05 juta daripada RM193.99 juta.
Kumpulan mencatatkan hasil dan keuntungan sebelum cukai yang lebih rendah pada suku ketiga terutamanya disebabkan sumbangan yang lebih rendah daripada hasil pembinaan kerana kebanyakan projek utama berada di peringkat siap manakala projek baharu pula masih di peringkat awal.
Bagi tempoh kumulatif sembilan bulan, syarikat kejuruteraan pembinaan itu merekodkan keuntungan bersih sebanyak RM531,000 daripada RM7.7 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya, dengan pendapatan juga susut kepada RM624.66 juta daripada RM701.51 juta.
Baca : Muhibbah Engineering catat rugi bersih RM1.28 juta pada suku ketiga
Menurut MIDF Research, bagi tempoh kumulatif sembilan bulan, keuntungan teras sebanyak RM2.2 juta dalah di bawah jangkaan firma, hanya merangkumi 7.2% daripada unjurannya dan 12.8% konsensus.
"Margin keuntungan sebelum cukai kumpulan juga 1.8% lebih rendah berbanding 2.2% bagi tempoh sama tahun lalu, dipengaruhi kos komponen dan pengangkutan yang lebih tinggi," katanya.
Firma itu berkata, Muhibbah mempunyai nilai kontrak dalam tangan sebanyak RM1.1 bilion bagi segmen pembinaan dan kren yang akan memberi pendapatan sehingga suku pertama FY24.
Katanya, kira-kira 41.7% atau RM459 juta daripada nilai kontrak itu membabitkan kerja pembinaan infrastruktur manakala baki 58.3% pula adalah tempahan kren.
"Kami percaya kumpulan masih banyak ruang untuk mendapatkan kontrak kerja memandangkan buku pesanan tertunggak masih belum kembali ke tahap sebelum pandemik, yang kebiasaannya sekitar RM1.5 hingga RM2 bilion," jelasnya.
Setakat 10.45 pagi, harga saham Muhibbah kekal tidak berubah pada 41 sen sesaham. -DagangNews.com