MIDF Research unjur dagangan runcit berkembang 17.6% pada 2022 | DagangNews Skip to main content

MIDF Research unjur dagangan runcit berkembang 17.6% pada 2022

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 12 Sept - MIDF Research mengunjurkan dagangan runcit negara akan berkembang sebanyak 17.6% pada 2022.

 

Firma itu berkata, perbelanjaan pengguna Malaysia berkembang dengan kukuh seperti yang dicerminkan dalam pertumbuhan jualan dagangan runcit sebanyak 21.6% pada 7MCY22.

 

"Kami percaya peningkatan permintaan sehingga akhir tahun ini akan disokong oleh penambah baikan dalam pasaran buruh, tekanan inflasi yang stabil dan pembukaan semula ekonomi domestik.

 

"Walaupun kadar dasar semalaman (OPR) menunjukkan trajektori menaik tetapi kami percaya ia hanya memberi kesan minimum kepada perbelanjaan domestik.

 

"Kami percaya dasar monetari Malaysia sedang dalam proses normalisasi dan OPR mungkin mencapai 3.00% menjelang awal tahun 2023," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, nilai dagangan borong dan runcit Malaysia mencecah RM130.7 bilion pada Julai 2022 selepas mencatatkan pertumbuhan 41% dari tahun ke tahun disokong peningkatan dalam subsektor perdagangan runcit, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Subsektor perdagangan runcit meningkat RM15.4 bilion, atau 37.5%, kepada RM56.6 bilion.

 

Firma itu berkata, kadar pertumbuhan yang tinggi itu kesan asas rendah ketika Malaysia menghadapi Perintah Kawalan Pergerakan pada pada Julai 2021.

 

Bagaimanapun, perbelanjaan domestik terutamanya dagangan runcit kekal dalam momentum yang positif selepas mencatatkan perkembangan sebanyak 0.8% dari bulan ke bulan. 

 

"Perbelanjaan domestik yang kukuh didorong oleh tekanan inflasi yang stabil, pasaran buruh yang bertambah baik dan dasar monetari serta fiskal yang baik.

 

"Kami menjangkakan, momentum permintaan domestik yang positif akan diteruskan 3QCY22 di tengah-tengah asas ekonomi yang kukuh dan kesan asas rendah," katanya. - DagangNews.com