MIDF Research unjur minyak mentah kekal tinggi kesan konflik geopolitik, kurang bekalan | DagangNews Skip to main content

MIDF Research unjur minyak mentah kekal tinggi kesan konflik geopolitik, kurang bekalan

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 29 Julai - MIDF Research mengunjurkan harga minyak mentah kekal tinggi berikutan berlakunya konflik geopolitik selain kekurangan bekalan di peringkat global.

 

Firma itu berkata, sekatan ke atas eksport tenaga Rusia sejak Mei CY22 akan mendorong harga minyak mentah kekal tinggi, di samping bekalan minyak mentah global yang semakin menyusut.

 

"Selepas mengambil kira pemulihan pandemik COVID-19, kami berpendapat bahawa permintaan untuk produk hidrokarbon akan terus stabil dengan risiko inflasi dan dasar monetari yang diperketatkan dan dijangka menjadi penghalang kepada pertambahan permintaan.

 

"Minyak mentah Brent dijangka kekal tinggi pada harga AS$112 (RM498) setong pada CY22 dan AS$105 (RM467) setong pada CY23," katanya dalam satu laporan, hari ini.

 

Firma itu berkata, kenaikan harga minyak mentah adalah petanda positif untuk aktiviti penerokaan dan pengeluaran (E&P) dan kadar pengeluaran di peringkat global telah meningkat seiring dengan penganugerahan kerja-kerja penggerudian kepada syarikat E&P global di seluruh dunia.

 

"Penerokaan tempatan juga dijangka mencatatkan pertumbuhan dalam pengeluaran sebanyak 26% dalam tempoh dua tahun akan datang dengan harga minyak mentah pada harga AS$60 (RM267) hingga AS$80 (RM356) setong," katanya.

 

Pada masa sama, firma itu berkata, industri petrokimia dijangka terus berkembang dengan baik untuk jangka panjang walaupun berlakunya aktiviti nyahkarbon berlaku di dalam sektor itu.

 

Katanya, pihaknya menjangkakan pasara petrokimia kekal kukuh menerusi sokongan dalam pengeluaran gas asli walaupun berdepan kos tinggi selain bekalan bahan mentah import yang kurang.

 

"Bagaimanapun, kekurangan bekalan mentah di seluruh dunia, kami percaya subsektor penapisan akan menyaksikan aliran menurun dari segi jumlah sebelum diimbangi semula seiring dengan jangkaan harga minyak mentah seimbang," katanya. 

 

Firma itu mengekalkan pandangan positif terhadap sektor minyak dan gas namun kekal berhati-hati terhadap ketidaktentuan ketidaktentuan peralihan permintaan, akibat ketegangan geopolitik, kekurangan bekalan minyak mentah, kenaikan harga bahan mentah dan dasar monetari yang ketat.

 

Katanya, segmen penapisan dan penghantaran produk hidrokarbon mungkin menghadapi halangan daripada peralihan minyak mentah global dan bekalan LNG untuk memenuhi permintaan dari Eropah, India dan kemungkinan China yang berpotensi memberi kesan kepada pengangkutan bahan mentah ke rantau Asia Tenggara secara amnya.

 

"Sementara itu, harga komoditi yang tinggi dijangka kekal tinggi dan akan memberi manfaat kepada E&P serta segmen runcit bagi produk petrokimia," katanya. - DagangNews.com