MIDF Research unjur pendapatan Sunway REIT lebih baik bermula FY24 | DagangNews Skip to main content

MIDF Research unjur pendapatan Sunway REIT lebih baik bermula FY24

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 17 Nov - MIDF Research mengunjurkan pendapatan yang lebih baik untuk Sunway Real Estate Investment Trust (Sunway REIT) bermula FY24 didorong penyusunan semula elemen di dalam Sunway Pyramid.

 

Firma penyelidikan itu juga positif terhadap prospek bahagian runcit yang disokong oleh pengembalian semula sewa yang positif.

 

Selain itu, bahagian hotel juga dijangka terus menerima manfaat daripada kehadiran semula pelancong yang lebih tinggi selain pemulihan dakam pelancongan domestik.

 

"Kami mengekalkan unjuran pendapatan bagi FY23, FY24 dan FY25 Sunway REIT," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, pendapatannya meningkat 6% kepada RM175.84 juta pada suku ketiga berakhir 30 September 2023 (3QFY23) berbandingRM166.24 juta setahun lalu.

 

BACA JUGA: Sunway REIT catat pendapatan hartanah bersih RM136.8 juta bagi 3QFY23 didorong lonjakan dalam segmen perhotelan

 

MIDF Research berkata, pendapatan bersih teras 3QFY23 lebih tinggi iaitu RM92 juta disebabkan sumbangan yang lebih tinggi daripada bahagian runcit dan hotel manakala pendapatan dibantu oleh perbelanjaan operasi hartanah yang lebih rendah.

 

Pada asas tahunan, 3QFY23 tidak berubah disebabkan sumbangan Sunway Pyramid yang lebih rendah dan kehilangan pendapatan daripada Pusat Perubatan Sunway berikutan pelupusan aset tersebut.

 

Katanya, pendapatan hartanah bersih Sunway Pyramid Mall adalah sedikit rendah disebabkan penyewa utamanya, Aeon sudah berpindah dari Sunway Pyramid pada Ogos 2023.

 

"Bagaimanapun, pendapatan yang lebih rendah daripada Sunway Pyramid diimbangi sumbangan yang lebih tinggi daripada sayap baharu Sunway Carnival dan sumbangan yang lebih tinggi daripada bahagian hotel," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM1.70 sesaham. - DagangNews.com