MIDF Research unjur perdagangan runcit berkembang 7.5% pada 2024 | DagangNews Skip to main content

MIDF Research unjur perdagangan runcit berkembang 7.5% pada 2024

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 11 Jan - MIDF Research mengunjurkan perdagangan runcit berkembang sebanyak 7.5% pada 2024.

 

Katanya, bagi tempoh 11 bulan 2023, jualan perdagangan pengedaran Malaysia mencatatkan peningkatan positif sebanyak 7.9% dari tahun ke tahun.

 

"Semua komponen seperti jualan kenderaan bermotor dan perdagangan runcit meningkat sebanyak 13% dan 9.4% manakala perdagangan borong meningkat sebanyak 5.3%.

 

"Permintaan pengguna kekal teguh dan berdaya tahan seperti yang dicerminkan dalam prestasi jualan perdagangan pengedaran," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Perdagangan borong dan runcit Malaysia catat peningkatan 6.2% kepada RM142.6 bilion pada November 2023 - DOSM

 

Terdahulu, peningkatan sebanyak 6.2% tahun ke tahun bagi perdagangan borong dan runcit pada November 2023 dipacu subsektor perdagangan borong yang meningkat 6.2% atau RM3.7 bilion kepada RM63.2 bilion. 

 

Perdagangan runcit juga berkembang dengan mencatatkan 4.4% atau RM2.6 bilion kepada RM61.3 bilion, diikuti kenderaan bermotor dengan pertumbuhan dua digit 12.7% atau RM2 bilion untuk berada pada RM18.1 bilion.

 

Bagi perbandingan bulanan, peningkatan marginal 0.2% berbanding bulan sebelumnya adalah disumbangkan perdagangan runcit yang naik 1.2%. 

 

Bagaimanapun, subsektor kenderaan bermotor dan perdagangan borong masing-masing merekodkan pertumbuhan negatif iaitu -1.6% dan -0.2%. 

 

Mengulas mengenai prospek, firma penyelidikan itu positif terhadap momentum permintaan domestik yang dijangka berterusan pada 2024 disokong pasaran tenaga kerja berdaya tahan, tekanan inflasi yang stabil selain peningkatan aktiviti pelancongan serta dasar ekonomi yang menyokong. - DagangNews.com