MIDF Research unjur purata kadar pengangguran 2024 pada paras 3.4% | DagangNews Skip to main content

MIDF Research unjur purata kadar pengangguran 2024 pada paras 3.4%

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 10 Jan - MIDF Research mengunjurkan purata kadar pengangguran pada 3.4% bagi 2024 dan 3.3% dalam 2025.

 

Firma penyelidikan itu menjangkakan pasaran buruh di Malaysia dijangka terus mengukuh pada 2024 dan 2025, disokong oleh momentum yang menggalakkan dalam ekonomi domestik dan pemulihan perdagangan luar.

 

Sementara itu, pengambilan semula pekerja asing di Malaysia berkemungkinan mendorong pengambilan pekerjaan secara keseluruhan dan mengurangkan kadar pengangguran.

 

“Sehingga suku ketiga 2023, pengambilan pekerja asing hampir 0.8% lebih rendah daripada tahap pra-pandemik.

 

“Setakat tempoh 11 bulan 2023 (11M23), guna tenaga meningkat 2.4% tahun ke tahun (yoy), manakala pengangguran berkurangan sebanyak 8.3% yoy dan kadar pengangguran purata pada 3.4%,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Firma itu berkata risiko negatif terhadap pasaran buruh Malaysia antara lain adalah pemulihan perdagangan luar yang lebih lemah daripada jangkaan dan penurunan harga komoditi global.

 

MIDF Research mengulas tentang pasaran buruh Malaysia susulan Statistik Tenaga Buruh November 2023 yang dilaporkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan penurunan 3.3% dalam kadar pengangguran, kembali ke paras pra-pandemik.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Kadar pengangguran November 2023 turun 3.3 peratus, kembali ke paras prapandemik- DOSM

 

“Pasaran pekerjaan yang semakin kukuh, pada pandangan kami, akan mengukuhkan lagi perbelanjaan pengguna dan menyokong pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) keseluruhan untuk suku keempat 2023 dan sepanjang 2024,” tambahnya.

 

Firma penyelidikan itu turut menjangkakan purata kekosongan jawatan akan berlegar pada paras 100,000 hingga 150,000 sebulan untuk 2024 di tengah-tengah pemulihan perdagangan luar dan permintaan domestik yang berdaya tahan.

 

Firma itu berkata, kadar pengangguran direkodkan dalam Januari dan Februari 2020 masing-masing pada 3.23% dan 3.31%.

 

Ia menambah bahawa kadar tenaga buruh dan guna tenaga masing-masing terus berkembang sederhana tahun ke tahun sebanyak 1.7% dan 2%. - DagangNews.com