MIDF Research unjur purata kadar pengangguran pada paras 3.5% bagi 2023 | DagangNews Skip to main content

MIDF Research unjur purata kadar pengangguran pada paras 3.5% bagi 2023

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 8 Dis - MIDF Research mengekalkan unjuran purata kadar pengangguran berada pada paras 3.5% bagi tahun ini.

 

Firma penyelidikan itu juga mengunjurkan pasaran tenaga kerja di Malaysia terus kukuh pada tahun hadapan  disokong oleh momentum yang menggalakkan dalam ekonomi domestik.

 

Kadar pengangguran purata Malaysia dijangka purata pada 3.5% pada 2023 dan kembali ke tahap pra pandemik iaitu 3.3% pada 2024.

 

"Kehadiran semula pekerja bukan warganegara dijangka meningkatkan pekerjaan keseluruhan dan mengurangkan kadar pengangguran. 

 

"Sehingga suku ketiga tahun ini, pekerjaan bagi bukan warganegara hampir 0.8% lebih rendah daripada tahap pra pandemik.

 

"Bagi tempoh sepuluh bulan tahun ini, guna tenaga meningkat 2.4% manakala pengangguran berkurangan sebanyak 8.6% dan kadar pengangguran purata pada 3.5%," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Jumlah penganggur menurun 3.4% kepada 570,900 orang pada Oktober 2023 – DOSM

 

Terdahulu, pasaran tenaga kerja pada Oktober 2023 terus mengukuh, berikutan aktiviti ekonomi semasa yang menggalakkan, dengan peningkatan berterusan dalam bilangan penduduk bekerja, manakala pengangguran semakin berkurangan. 

 

MIDF Research berkata, penambahbaikan berterusan dalam pasaran tenaga kerja akan menyokong perbelanjaan pengguna kerana nisbah penerima gaji kepada pekerjaan telah mencapai kemuncak baharu pada 64.6% pada 2022 hasil pelaksanaan dasar gaji minimum. - DagangNews.com