MIDF Research yakin OPR kekal pada status quo hingga akhir tahun | DagangNews Skip to main content

MIDF Research yakin OPR kekal pada status quo hingga akhir tahun

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 3 Mei - MIDF Research berkeyakinan kadar dasar semalaman (OPR) kekal pada status quo hingga akhir 2023.

 

Firma itu percaya bahawa tumpuan semasa penetapan dasar monetari Bank Negara Malaysia (BNM) adalah untuk memastikan momentum pertumbuhan ekonomi Malaysia yang mampan.

 

"Dengan OPR dipulihkan ke tahap pra-pandemik, kami percaya BNM akan beralih kepada pendekatan tunggu dan lihat terutamanya memantau perkembangan bank pusat utama.

 

"Sekiranya ekonomi domestik Malaysia bertambah baik daripada jangkaan, kami menjangkakan BNM mungkin mengoptimumkan bahagian kewangannya melalui normalisasi Keperluan Rizab Berkanun (SRR) daripada 2% kepada 3% tahun ini," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

BACA JUGA: Bank Negara Malaysia naikkan lagi OPR sebanyak 25 mata asas kepada 3%

 

Firma itu berkata, kadar SRR dikurangkan kepada 2% sejak Mac 2020.

 

Katanya, keputusan itu bagaimanapun tertakluk kepada kestabilan pertumbuhan ekonomi, kadar kenaikan harga dan penambahbaikan dalam keadaan makroekonomi, terutamanya pemulihan berterusan dalam pasaran tenaga kerja dan permintaan domestik yang semakin meningkat.

 

"Dari perspektif jangka sederhana, normalisasi kadar dasar diperlukan untuk mengelakkan risiko yang boleh menjejaskan kestabilan prospek ekonomi masa depan seperti inflasi yang berterusan tinggi dan peningkatan lagi dalam keberhutangan isi rumah," katanya. - DagangNews.com