MIDF tingkatkan penarafan saham MAHB kepada ‘neutral’ | DagangNews Skip to main content

MIDF tingkatkan penarafan saham MAHB kepada ‘neutral’

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 1 Dis. - MIDF Research meningkatkan penarafan saham Malaysia Holdings Airports Berhad (MAHB) daripada saranan ‘jual’ kepada ‘neutral’.

 

Penarafan itu dibuat berdasarkan prestasi kewangan suku ketiga 2020 (3Q20) dan sembilan bulan pertama 2020 (9M20) oleh MAHB yang dikeluarkan semalam. 

 

Dalam masa sama, MIDF turut meningkatkan sasaran harga (TP) MAHB kepada RM5.10 sesaham berdasarkan jangkaan perolehan kumpulan syarikat itu pada tahun kewangan 2020 (FY20). 

 

“Keyakinan pengguna terhadap perjalanan udara kekal sebagai kunci utama dan mungkin mengambil masa lama untuk pulih, walaupun selepas kerajaan telah memulakan proses pembukaan semula sempadan dan melonggarkan sekatan perjalanan. 

 

“Sebabnya adalah, keselamatan merupakan faktor utama untuk meraih semula keyakinan pengguna. Vaksin yang berjaya dan terbukti berkesan penting untuk memastikan pemulihan sepenuhnya industri penerbangan.

 

“Dengan perkembangan vaksin positif, kami percaya masa depan industri penerbangan bertambah baik secara signifikan yang memberi impak positif ke atas pemain industri seperti MAHB,” kata MIDF dalam nota kajiannya hari ini. 

 

Susulan itu, MIDF menjangkakan pemulihan permintaan mengukuh menjelang separuh kedua tahun kewangan 2021 (2H21) didorong pentadbiran vaksin COVID-19.

 

Semalam, DagangNews.com melaporkan MAHB mencatatkan kerugian bersih sehingga RM319.72 juta pada 3Q20 berbanding keuntungan bersih yang diraih tempoh sama tahun lalu, RM197.87 juta. 

 

Baca : Malaysia Airports rugi RM320 juta pada Q3

 

Ini sekali gus menyaksikan kerugian bersih syarikat itu bagi tempoh 9M20 bernilai RM431.17 juta berbanding keuntungan bersih yang dicatatkan tempoh sama tahun lalu, RM507.53 juta.

 

Bagaimanapun, MAHB berkata, usaha penjimatan kos telah mendorong kumpulan syarikat mencatatkan jumlah kos menguncup sebanyak 31.5% atau RM708.9 juta. 

 

Melangkah ke hadapan, disokong oleh keyakinan perkembangan vaksin COVID-19 dan pemulihan permintaan perjalanan udara, MIDF menjangkakan keuntungan selepas cukai MAHB bagi FY21 bernilai RM57.5 juta berbanding kerugian pada RM98.0 juta.

 

Setakat 9.43 pagi, saham MAHB melonjak sehingga 2.11% mencecah nilai RM5.32 dengan jumlah saham yang dibeli sebanyak 5,300. - DagangNews.com