MIDF tingkatkan saranan 'neutral' saham Gamuda kepada 'beli' | DagangNews Skip to main content

MIDF tingkatkan saranan 'neutral' saham Gamuda kepada 'beli'

Gamuda Berhad

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 28 Sept. - MIDF Research meningkatkan saranan 'neutral' saham syarikat kejuruteraan dan hartanah, Gamuda Berhad kepada saranan 'beli'.

MIDF Research berkata, perubahan tersebut dibuat berdasarkan kepada prospek pendapatan dan pendapatan kumpulan syarikat berkenaan yang dijangka meningkat.

"Kami jangkakan bahawa prospek pendapatan dan pendapatan kumpulan akan mencatatkan pemulihan yang sihat dalam pendapatan tahun kewangan 2021 susulan pembukaan semula aktiviti pembinaan dan perniagaan.

"Untuk jangka masa panjang, prospek kumpulan turut disokong baik dengan buku pesanan yang luar biasa berjumlah kira-kira RM7.0 bilion yang akan memberi pendapatan untuk tiga tahun seterusnya," jelas MIDF Research.

Selain itu juga, Gamuda turut dijangka menjadi salah satu syarikat yang akan menerima pelbagai kelebihan daripada projek infra seperti MRT3 dan KL-SG HSR susulan prestasi baik dalam projek MRT2 dan projek awam lain.

Pendapatan Gamuda pada suku keempat 2020 meningkat 225.0% kepada RM130.8 juta didorong oleh operasi pembinaan yang digerakkan semula selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sementara itu, pendapatan komulatif tahun kewangan 2020 tetap kukuh dengan penurunan hanya 25% kepada RM519.8 juta.

Dalam aspek jualan hartanah pula, Gamuda mencatatkan penurunan jualan sebanyak 30% kepada RM2.2 bilion disebabkan oleh penutupan dan penangguhan jualan hartanah akibat wabak COVID-19.

Bagaimanapun, kumpulan tersebut berjaya meningkatkan 150.0% kepada RM230 juta selepas kelonggaran PKP pada suku keempat tahun kewangan 2020.

MIDF Research turut membuat semakan terhadap anggaran pendapatan Gamuda untuk tahun kewangan 2021 dan 2022 kepada RM592.6 juta dan RM622.2 juta.

Harga sasaran sesaham (TP) turut ditingkatkan kepada RM3.81 berbanding RM3.35 pada sebelumnya. - DagangNews.com