MIDF tingkatkan saranan saham AirAsia X kepada 'neutral' | DagangNews Skip to main content

MIDF tingkatkan saranan saham AirAsia X kepada 'neutral'

AirAsia X

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 7 Okt. - MIDF Research meningkatkan saranan saham syarikat penerbangan AirAsia X Berhad (AirAsia X) kepada 'neutral'.

MIDF Research berkata, saranan tersebut ditingkatkan berbanding saranan 'jual' pada sebelumnya.

"Kami tingkatkan saranan kepada 'neutral' berdasarkan kepada keyakinan terhadap perjanjian antara AirAsia X dan pihak pemberi pinjaman akan dipersetujui.

"Selain itu, ini juga membantu AirAsia X untuk terus bertahan daripada kerugian yang lebih tinggi kerana penstrukturan semula turut melibatkan pembayaran faedah pada masa hadapan," jelas MIDF Research.

Semalam, AirAsia X mengemukakan beberapa cadangan kepada Bursa Malaysia untuk menyelamatkan syarikatnya.

Bahagian pertama dalam cadangan berkenaan ialah pelaksanaan hutang untuk penyusunan semula di mana RM63.5 bilion daripadanya akan disusun semula menjadi pengakuan hutang oleh AirAsia X dengan jumlah hutang pokok sehingga RM200.0 juta.

AirAsia X juga turut mencadangkan untuk menamatkan kontrak dengan pihak-pihak yang berkaitan dan penukaran pembayaran pendahuluan dan deposit kepada kredit perjalanan.

Selain penstrukturan hutang, AirAsia X juga berhasrat untuk mengurangkan 90% modal saham yang diterbitkan dan menyatukan setiap 10 saham biasa yang ada kepada satu saham AirAsia X.

Cadangan tersebut dilihat sangat penting kepada syarikat berkenaan untuk meneruskan pengoperasian kumpulannya.

MIDF Research mengambil keputusan untuk mengekalkan anggaran pendapatan AirAsia X secara teori melihatkan kepada senario wabak COVID-19 yang merisikokan banyak bahagian pasaran utama syarikat tersebut.

"Kami kekalkan harga sasaran sesaham (TP) pada RM0.50," ujar MIDF Research lagi. - DagangNews.com