MIDF umum bantuan pembiayaan sehingga RM100,000 untuk PKS terjejas banjir | DagangNews Skip to main content

MIDF umum bantuan pembiayaan sehingga RM100,000 untuk PKS terjejas banjir

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 24 Dis - Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF) menyediakan bantuan pembiayaan sehingga RM100,000 di bawah Dana Kecemasan PKS (SMEEF) bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas teruk akibat banjir. 

 

Dana tersebut disediakan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi melalui SME Corporation Malaysia dan diuruskan oleh MIDF.

 

"Bantuan pembiayaan itu diberi kepada PKS yang terjejas meliputi pelbagai keperluan asas perniagaan termasuk mesin dan peralatan, baik pulih premis perniagaan dan modal kerja. 

 

"SMEEF ditawarkan bagi membantu PKS yang operasi mereka terjejas teruk atau mengalami kerosakan akibat banjir atau bencana alam lain seperti kemarau, hakisan pantai dan tanah runtuh," kata MIDF dalam satu kenyataan hari ini.

 

Bagi melayakkan mereka menerima bantuan itu, PKS yang beroperasi dalam kawasan bencana perlu menyediakan bukti-bukti operasi mereka terkesan dengan bencana alam ini dalam bentuk surat daripada pejabat daerah atau salinan laporan polis. 

 

Pemohon juga mesti memiliki lesen perniagaan sah yang dikeluarkan oleh majlis perbandaran tempatan.

 

Untuk maklumat lanjut mengenai bantuan untuk PKS ini, sila hubungi Unit Penasihat Perniagaan kami di talian 1-300-88-6433 atau emel di GrowYourBusiness@midf.com.my. - DagangNews.com