KUALA LUMPUR 8 Jan - Perbelanjaan modal (capex) lebih tinggi untuk Tenaga Nasional Bhd (TNB) dalam Tempoh Kawal Selia 4 (dari 2025 hingga 2027) boleh meningkatkan pulangannya, kata CIMB Securities.
Firma penyelidikan itu berkata, bagi setiap RM1 bilion belanjawan melebihi paras RM35.5 bilion akan menambah 3.6 sen sesaham kepada nilai saksama berasaskan aliran tunai terdiskaun untuk TNB.
"Unjuran pendapatan teras sesaham (EPS) bagi tahun kewangan 2025 (FY25) hingga FY27 mungkin dinaikkan sebanyak 2% hingga 7%, berdasarkan capex maksimum yang dibenarkan sebanyak RM42.8 bilion,” katanya dalam satu nota kajian.
Pada Disember 2024, TNB mengumumkan kerjaan telah meluluskan pelaksanaan RP4 dan membenarkan jumlah belanjawan sebanyak RM42.8 bilion, terdiri daripada belanjawa asas RM26.6 bilion dan belanjawan luar jangka RM16.3 bilion dalam tempoh tiga tahun.
Jumlah perbelanjaan mengurus (opex) yang dibenarkan ditetapkan pada RM20.8 bilion dan kadar pulangan kawal selia ditetapkan pada 7.3%.
TNB juga mencadangkan kenaikan 14% dalam kadar tarif asas elektrik kepada 45.62 sen setiap kilowatt jam (kWj) mulai Julai 2025 (tertakluk kepada kelulusan kerajaan) berikutan kenaikan harga arang batu dan gas asli yang diperolehnya untuk menjana tenaga elektrik.
CIMB Securities menganggarkan kadar elektrik sebenar boleh menjadi lebih tinggi daripada kadar asas baharu yang dicadangkan.
“Kami menganggarkan purata tarif efektif ialah 46.16/kWj pada separuh pertama tahun kewangan 2024 (1H24), selepas memasukkan surcaj Pelepasan Kos Tidak Berimbang (ICPT).
"Bagi RP4, kami menganggarkan masih terdapat beberapa surcaj ICPT (kerana kos arang batu semasa lebih tinggi daripada unjuran RP4), yang mungkin menjadikan purata tarif efektif kepada 48 hingga 49 sen/kWj.
"Berdasarkan ini, kenaikan sebenar dalam purata tarif efektif mungkin kira-kira 5% berbanding separuh pertama 2024,” katanya.
Namun begitu, CIMB Securities berkata, kejelasan diperlukan mengenai isu seperti kadar tarif asas dan perbelanjaan modal luar jangka akan digunakan.
Memandangkan jangkaan pertumbuhan permintaan elektrik yang kukuh, didorong oleh pusat data baharu dalam tempoh tiga tahun akan datang dan komitmen kerajaan terhadap agenda penyahkarbonan, firma penyelidikan itu percaya sebahagian besar, jika tidak semua, daripada belanjawan kontinjen RM16.3 bilion boleh dibelanjakan dalam RP4.
"Satu lagi isu yang kami perlukan penjelasan lanjut ialah sama ada belanjawan luar jangka akan menjadi sebahagian daripada asas aset terkawal dan dengan itu memperoleh kadar pulangan terkawal, atau jika mekanisme berasingan akan menentukan pulangan ke atas pelaburan ini," katanya. - DagangNews.com