Miliki kedudukan tunai yang kukuh, HLIB Research kekal saranan 'Pegang' saham Panasonic | DagangNews Skip to main content

Miliki kedudukan tunai yang kukuh, HLIB Research kekal saranan 'Pegang' saham Panasonic

Oleh NABILA YASMIN RAZIB 

KUALA LUMPUR 25 Jan - Hong Leong Investment Bank Research (HLIB Research) mengekalkan saranan 'Pegang' bagi saham Panasonic Manufacturing Malaysia dengan harga sasaran (TP) tidak berubah pada RM25.70.

 

Dalam nota penyelidikannya hari ini, HLIB Research berkata, di sebalik ketidaktentuan cuaca dan pasaran ketika ini, pihaknya yakin Panasonoc mampu mengharungi waktu-waktu sukar ini disokong oleh kedudukan tunai bersihnya yang kukuh sebanyak RM349.9 juta pada akhir September 2021.

 

Ia berkata, hujan berterusan pada Disember 2021 telah menyebabkan kilang pengeluaran SA2 Panasonic Manufacturing Malaysia terjejas akibat banjir yang mengakibatkan mesin, alat ganti, bahan mentah dan barangan siap telah terjejas tetapi aset tersebut dilindungi insurans secukupnya. 

 

"Selain itu, pembekal kumpulan itu juga terjejas justeru menambah kepada gangguan perniagaan untuk loji SA1.

 

"Pada masa ini, kadar penggunaan untuk segmen kipas berjalan pada 40% dan pembersih vakum pada 80%. 

 

"Berdasarkan penilaian semasa, operasi penuh dijangka disambung semula menjelang Mac 2022," katanya dalam nota penyelidikannya di sini hari ini.

 

HLIB Research berkata, pengurusan Panasonic berkongsi bahawa prospek hasil dan prestasi untuk kedua-dua peralatan rumah dan segmen kipas bertambah baik berikutan pesanan tertunggak daripada EMCO pada 2QFY22. 

 

Selain itu katanya, dengan penyambungan semula aktiviti perniagaan sepenuhnya, jualan semakin pulih secara berterusan untuk syarikat bersekutunya Panasonic Malaysia - yang aktiviti utamanya ialah jualan dan pemasaran produk Panasonic di Malaysia. 

 

"Walau bagaimanapun, pengeluaran kipas dan pembersih vakum yang dikeluarkan di loji SA2 telah dihentikan dari 18 hingga 31 Disember kerana kejadian banjir seperti yang dinyatakan di atas.

 

"Kami menjangkakan Panasonic akan menghadapi tekanan margin di belakang harga bahan mentah yang tinggi. Selain itu, dengan kekurangan tenaga kerja akibat sekatan ke atas pengambilan pekerja asing, kami melihat bahawa syarikat akan menghadapi kos tambahan daripada kenaikan elaun untuk pekerja sementara dan penyumberan luar untuk mengurangkan kesan ini," katanya. 

 -DagangNews.com