Miliki pegangan penuh dalam syarikat usaha sama, tamatkan pertikaian antara MRCB-George Kent | DagangNews Skip to main content

Miliki pegangan penuh dalam syarikat usaha sama, tamatkan pertikaian antara MRCB-George Kent

Gambar hiasan

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 29 Sept. - Pengambilalihan sepenuhnya Malaysian Resources Corporation Bhd. (MRCB) dalam syarikat usaha sama dengan George Kent (Malaysia) Bhd. bagi menjalankan projek Transit Aliran Ringan (LRT3) dilihat sebagai 'penamat' kepada pertikaian antara kedua-dua pihak. 

 

Meskipun MRCB memiliki kepentingan 100% dalam syarikat usaha sama ini (MRCBGK), namun panganalisis melihat ketidaktentuan terhadap pelancaran projek mega infrastruktur akan mempengaruhi prospek syarikat pembinaan tersebut. 

 

Dalam hal ini, CGS-CIMB mengekalkan saranan 'pegang' ke atas saham MRCB dengan harga sasaran tidak berubah pada 40 sen dengan mengambil kira kerugian yang dijangka semakin melebar dalam segmen pembinaan bagi separuh kedua 2021 disebabkan pandemik COVID-19.

 

Penganalisisnya, Sharizan Rosely berkata, pengambilalihan itu bagaimanapun adalah satu langkah positif dengan menganggarkan untung bersih MRCB bagi tahun kewangan 2021, 2022 dan 2023 masing-masing meningkat antara 40 hingga 60% kepada RM7.4 juta, RM19.8 juta dan RM30.4 juta. 

 

Katanya, pada masa sama, ia juga akan meningkatkan harga sasaran MRCB sebanyak 5% dalam tempoh itu. 

 

"Bagi kami, pengambilalihan ini menandakan tamatnya pertikaian sejak 2019 berhubungan perjanjian pemegang saham (SHA) dalam usaha sama MRCBGK. 

 

"Kami dapati berikutan timbang tara antara George Kent dan MRCB yang dimuktamadkan pada Mei lalu, ia memutuskan bahawa George Kent telah melanggar perjanjian tersebut (berkaitan peruntukan mendapatkan pembiayaan bagi syarikat usaha sama itu)," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

 

Baca : George Kent lupus 50% kepentingan dalam MRCBGK bernilai RM53 juta

 

Baca : Pertikaian dengan George Kent bagi projek LRT3, MRCB dapat penyelesaian RM2.3 juta

 

Semalam, George Kent mengumumkan menerima tawaran MRCB untuk melupuskan 50% ekuiti yang mewakili 5 juta saham dalam MRCBGK membabitkan pertimbangan tunai berjumlah RM53 juta. 

 

Saham biasa itu dimiliki anak syarikat milik penuh George Kent menerusi George Kent Rail Sdn. Bhd.

 

Pada Isnin, MRCB mengumumkan menerima penyelesaian akhir (final award on costs) sebanyak RM2.3 juta dari George Kent setelah diputuskan oleh Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) berhubung pertikaian antara MRCB-George Kent melibatkan SHA antara kedua-dua syarikat bertarikh 8 Jun 2015. 

 

Pertikaian itu berpunca daripada pilihan mendapatkan pembiayaan untuk MRCB George, yang ditubuhkan untuk melaksanakan projek pembinaan Transit Aliran Ringan (LRT3).

 

George Kent dan MRCB menandatangani SHA pada 8 Jun 2015 untuk membentuk syarikat usaha sama 50:50 bagi tender, melaksanakan dan menyelesaikan pembinaan talian LRT3 dari Bandar Utama, Petaling Jaya ke Johan Setia, Klang.

 

Sementara itu, penganalisis MIDF Research, Ummar Fitri berkata, berdasarkan semakannya, ia mendapati syarikat usaha sama itu merekodkan untung bersih yang positif sejak tahun kewangan 2016. 

 

Bagi tahun kewangan 2020, syarikat ini merekodkan keuntungan bersih RM16.3 juta, hanya 1% margin keuntungan. Tetapi margin tersebut hampir konsisten dalam tempoh 3 tahun lalu.

 

"Dengan menganggarkan projek LRT3 mencapai 60%, baki bagi nilai pembangunan adalah sekitar RM4.74 bilion. Apabila diterjemahkan dengan 1% margin keuntungan, ia mewakili hampir RM16 juta setahun bagi untung bersih. 

 

"Bagaimanapun, persoalannya, adakah MRCB mendapat faedah daripada kos pembiayaan yang lebih rendah  hingga meningkatkan margin projek?," jelasnya. 

 

MIDF Research menyemak naik penarafan MRCB kepada 'trading buy' berbanding 'neutral' dengan harga sasaran pada 42 sen sementara menanti butiran terperinci daripada pihak pengurusan berhubung pengambilalihan tersebut. 

 

"Dengan pengambilalihan ini, kami positif dengan perubahan paradigma sentimen pasaran yang menyelubungi kumpulan ini, terutama apabila langkah berkenaan mampu membuktikan hasil yang ketara. 

 

"Pada masa sama, kami menjangkakan kemajuan kerja mungkin dipercepatkan apabila memasuki tahun kewangan 2022. Tetapi, ia masih lagi bergantung kepada situasi semasa COVID-19 pada masa akan datang," katanya. 

 

Setakat 9.39 pagi ini, saham MRCB diniagakan tidak bergerak pada 38.5 sen dengan 639,900 saham diniagakan. - DagangNews.com