KUALA LUMPUR 21 Feb - Minggu Ekonomi Digital Malaysia di Ekspo Dubai 2020 berjaya menjana potensi perdagangan dan pelaburan bernilai RM1.295 bilion ke Malaysia.
Kejayaan mencapai pelaburan berkelayakan bernilai RM1.295 bilion dan 110 perniagaan berpotensi telah melepasi sasaran awal iaitu sebanyak RM300 juta daripada segi pelaburan dan 50 perniagaan berpotensi, termasuk peluang pelaburan berkenaan dijangka mewujudkan 890 peluang pekerjaan.
Kejayaan berkenaan diperolehi menerusi 110 perniagaan berpotensi, 138 padanan perniagaan dan 16 Memorandum Persefahaman (MoU) di kalangan 22 syarikat teknologi Malaysia yang terlibat sebagai delegasi di Minggu Ekonomi Digital semasa di Ekspo Dubai 2020, diketuai Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) bersama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC)
Menteri KKMM, Tan Sri Annuar Musa berkata, Minggu Ekonomi Digital Malaysia menjadi bukti kekuatan negara dalam ekonomi digital serta keyakinan global terhadap negara sebagai destinasi pelaburan digital utama.
"Pelaburan berkelayakan akan mencipta kesan berangkai yang merangkumi mewujudkan banyak peluang pekerjaan bernilai tinggi yang menjadi nadi kepada pemulihan ekonomi negara selaras dengan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) , serta memacu tawaran nilai Malaysia sebagai hab digital di ASEAN.
"Perdagangan dan pelaburan berkelayakan berkenaan merupakan satu langkah besar ke arah merealisasikan matlamat Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL), yang menyasarkan pelaburan digital bernilai RM70 bilion menjelang 2025," katanya dalam kenyataan MDEC hari ini.
Terdahulu, Minggu Ekonomi Digital Malaysia turut menyaksikan sebanyak 16 MoU berjaya dimeterai antara syarikat teknologi Malaysia dengan rakan kongsi antarabangsa.
Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Mahadhir Aziz pula berkata, pihaknya berbangga kerana mengetuai barisan juara teknologi tempatan yang cemerlang dan berinovatif ke peringkat dunia.
"Kerjasama yang mereka jalinkan bukan sahaja akan membantu mereka berkembang sebagai pemain global, tetapi juga akan memacu inovasi dan penyelesaian yang akhirnya akan memberi manfaat kepada masyarakat dan memacu kita lebih jauh sebagai sebuah negara digital.
"Ekonomi digital yang mampan dibina di atas semangat kerjasama. Ekspo Dubai 2020 bukan sahaja membolehkan kami mengembangkan rangkaian kerjasama kami di seluruh dunia, malah membuktikan kelebihan dan kekuatan perkongsian awam-swasta industri,” katanya.
Berlangsung dari 9 hingga 15 Januari 2022 lepas di Pavilion Malaysia di ekspo tersebut, Minggu Ekonomi Digital Malaysia menyediakan pameran inovasi teknologi dan penyelesaian Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) Malaysia, merangkumi sektor seperti Teknologi Kewangan Islam dan penyelesaian ID digital kepada animasi dan permainan video.
Acara berkenaan berjaya merekodkan kehadiran lebih 20,000 pengunjung di Pavilion Malaysia, termasuk 138 padanan perniagaan juga berjaya dilaksanakan semasa acara berkenaan.
Minggu Ekonomi Digital Malaysia turut menjadi pentas pengumuman Malaysia Digital, program yang telah ditambah baik bagi menggantikan inisiatif MSC Malaysia, yang telah beroperasi sejak 25 tahun lalu.
Malaysia Digital dijangka melonjakkan tawaran nilai Malaysia untuk menarik pelaburan digital menerusi rangka kerja yang berteraskan tiga komponen utama iaitu ketangkasan, fleksibiliti dan relevan.
Di bawah inisiatif Malaysia Digital, Kerajaan dan MDEC turut memperkenalkan dua projek pemangkin iaitu DE Rantau dan Malaysia Digital Trade.
DE Rantau dirancang untuk menjadikan Malaysia sebagai Hab Nomad Digital pilihan di ASEAN, manakala Malaysia Digital Trade akan memacu kesalingoperasian dan penyelarasan yang lebih baik bagi standard dan pendekatan kawal selia serta memudahkan perdagangan di dalam dan merentasi sempadan. - DagangNews.com