Minggu Pendidikan Asia Timur British Council 2024 perkukuh sistem pendidikan tinggi antarabangsa | DagangNews Skip to main content

Minggu Pendidikan Asia Timur British Council 2024 perkukuh sistem pendidikan tinggi antarabangsa

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 23 Feb - British Council Malaysia menganjurkan Minggu Pendidikan Asia Timur British Council 2024 dari 26 hingga 29 Februari ini, sebelum acara kemuncak Anugerah Alumni Study United Kingdom (UK) 2024 yang bakal diadakan di ibu negara.

 

Pengarah Pendidikan Asia Timur British Council, Leighton Ernsberger berkata, pihaknya bekerjasama dengan penggubal dasar, kerajaan dan pihak berkepentingan lain di UK dan Asia Timur untuk mengukuhkan sistem pendidikan tinggi antarabangsa bagi memperkayakan pengalaman pelajar dan tahap keberhasilan graduan. 

 

"Kami berharap kerjasama UK-Asia Timur yang ditonjolkan pada acara ini akan menginspirasikan kerjasama dalam aspek mobiliti pelajar yang bersifat lebih terangkum, pendidikan rentas negara, kajian berimpak tinggi dan meraikan kerjasama jangka masa panjang yang terjalin secara mampan," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

 

Sementara itu, Pengarah British Council Malaysia, Jazreel Goh pula berkata, beliau mengalu-alukan kehadiran semua perwakilan ke Malaysia dan berharap acara itu akan memberikan maklumat berguna berkaitan perkembangan terkini dalam pendidikan antarabangsa.   

 

"Kami berbesar hati menjadi tuan rumah Minggu Pendidikan Asia Timur British Council pada tahun ini sebagai penutup tirai sambutan ulang tahun ke-75 kami di Malaysia. Ia wadah yang terbaik untuk meraikan pelbagai kejayaan yang dikecapi selama ini," katanya.

 

Menurut kenyataan itu, keempat-empat acara yang bakal berlangsung akan menyerlahkan setiap satu melalui lensa yang berbeza, tentang kepentingan kritikal sektor pendidikan antarabangsa dan institusinya.

 

Katanya, ia menggalakkan pertukaran pengetahuan dan idea dan juga faedah yang diberikan oleh pertukaran sedemikian akan menjadi penting bagi pengetahuan ekonomi global untuk lebih berkembang maju.

 

 

bc
Jazreel Goh

 

 

 

"Wakil-wakil entiti pendidikan dari UK dan rantau Asia Timur akan menyertai beberapa siri persidangan, forum dan wacana berkaitan kerjasama dan amalan-amalan terbaik dalam sistem pendidikan tinggi UK-Asia Timur. 

 

"Hasil daripada sesi yang berlangsung akan menjadi asas kepada hala tuju pihak-pihak berkepentingan yang berkongsi gagasan yang sama dalam sektor ini," katanya. 

 

Tambahnya, acara minggu pendidikan itu menyerlahkan dimensi, kesungguhan dan kekuatan tahap kerjasama pendidikan UK dengan rantau ini yang semakin mengukuh. - DagangNews.com