Minox sasar RM22.5 juta daripada IPO Pasaran ACE bagi pembinaan 2 gudang baharu | DagangNews Skip to main content

Minox sasar RM22.5 juta daripada IPO Pasaran ACE bagi pembinaan 2 gudang baharu

(Dari kiri) Pengarah Eksekutif Minox, Looi Poo Poo; Pengarah Urusan Minox, Cheong Chee Son; Pengerusi Minox, Alwizah Al-Yafii Ahmad Kamal; Pengarah Urusan Kewangan Korporat M & A Securities, Datuk Bill Tan dan Ketua Kewangan Korporat M & A Securities, Gary Ting
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 20 Sept - Minox International Group Bhd menyasarkan untuk mengumpul RM22.5 juta menerusi terbitan 90 juta saham pada harga 25 sen sesaham daripada pelaksanaan tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 17 Oktober.

 

Pengedar injap sanitari, tiub dan kelengkapan keluli tahan karat itu berkata 57.9% atau RM13.01 juta daripada hasil tersebut akan digunakan untuk mengembangkan perniagaannya, termasuk pembangunan dan penggunaan produk, pembinaan gudang keempatnya di Puchong, Selangor, serta penubuhan gudang baharu di Singapura.

 

Kumpulan itu akan memperuntukkan RM4.5 juta lagi untuk membayar balik pinjaman bank, diikuti modal kerja sebanyak RM1.59 juta, manakala baki RM3.4 juta akan menampung anggaran perbelanjaan penyenaraian.

 

Minox berkata demikian susulan penlancaran prospektusnya hari ini, di mana permohonan untuk terbitan awam akan ditutup pada 5 petang pada 3 Oktober.

 

Minox akan mempunyai permodalan pasaran sebanyak RM90 juta selepas penyenaraian, dengan saham terbitan yang diperbesarkan sebanyak 360 juta saham.

 

Sejak ditubuhkan pada 1998, Minox telah membekalkan pelbagai jenis produk kebersihan keluli tahan karat kepada 1,700 pelanggan aktif dalam industri makanan dan minuman, farmaseutikal dan semikonduktor.

 

Pengarah Urusan Minox, Cheong Chee Son berkata kumpulan itu berhasrat untuk mengukuhkan perniagaan dalam industri semikonduktor, yang mempunyai potensi besar.

 

“Melalui pasukan reka bentuk dan pembangunan kami sendiri, kami bersedia memperkenalkan kelengkapan dan injap vakum baharu untuk digunakan dalam barisan pengeluaran semikonduktor seperti komponen elektronik, sel solar, media penyimpanan dan kilang pembuatan LED.

 

“Seterusnya, kami merancang untuk membina gudang keempat kami di Puchong, Selangor yang akan memberi kawasan simpanan tambahan kira-kira 18,690 kaki persegi bagi menyokong jumlah perniagaan kami yang semakin meningkat,” katanya.

 

Di samping itu, Chee Son berkata syarikat itu akan membina gudang baharu di Singapura, dengan jangkaan kawasan penyimpanan kira-kira 7,500 kaki persegi.

 

Beliau berkata gudang tersebut akan memberikan kapasiti tambahan bagi menyimpan kelengkapan vakum dan injap baharu untuk industri semikonduktor serta menyimpan inventori yang memenuhi keperluan pelanggan di Singapura dan pasaran luar negara lain seperti Bahrain, Kemboja, Denmark, Jerman, India, Jepun, Korea Selatan, Myanmar, Sri Lanka, Sepanyol dan Emiriah Arab Bersatu.

 

“Gudang ini seterusnya boleh menurunkan purata kos seunit kami dengan memanfaatkan perjanjian perdagangan bebas Singapura dengan rakan dagangnya,” tambahnya.  - DagangNews.com