Misi jualan Tourism Selangor sasar tarik lebih ramai pelancong Taiwan pada 2024 | DagangNews Skip to main content

Misi jualan Tourism Selangor sasar tarik lebih ramai pelancong Taiwan pada 2024

Misi jualan ke Taiwan menghimpunkan lebih 100 pembeli di Taipei dan Kaohsiung dengan menumpukan perhatian kepada tarikan di wilayah selatan dan utara Selangor.
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 20 Dis - Tourism Selangor telah merangka perancangan strategik untuk menarik lebih ramai pelancong antarabangsa menjelang Tahun Melawat Selangor 2025, menerusi misi jualan ke Taiwan, diketuai oleh Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor, Ng Suee Lim.

 

Bertumpukan tarikan di wilayah selatan dan utara negeri Selangor, agensi tersebut berkata program ini telah berjaya menghimpunkan lebih 100 pembeli di Taipei dan Kaohsiung.

 

Ini termasuk penggiat industri pelancongan seperti Farm in the City, GL Play by Gamuda Land, Sky Mirror, Hong Long International Group Sdn Bhd, Golden Point, Pearl Holiday dan On Holiday Sdn Bhd, serta kerjasama dengan Majlis Perbandaran Sabak Bernam, Kuala Langat, Hulu Selangor dan Pemerbadanan Menteri Besar Selangor.

 

 

Ng Suee Lim (duduk, tengah) mengetuai misi jualan ke Taiwan
Ng Suee Lim (duduk, tengah) mengetuai misi jualan ke Taiwan

 

Dengan membawa kempen pelancongan global, ‘Splendid Selangor, Take Me Anywhere!’, inisiatif ini berfungsi sebagai sebuah platform penting untuk memupuk hubungan antarabangsa dan mempamerkan pelbagai tarikan di negeri itu, seperti eko-pelancongan, taman tema, budaya dan warisan, serta pengalaman membeli-belah dan aktiviti riadah.

 

Suee Lim dalam satu kenyataan media hari ini berkata, Selangor telah menerima 75,783 orang pelancong dari Taiwan sebelum pandemik COVID-19 melanda, yang malangnya menurun kepada 68% disebabkan sekatan perjalanan antarabangsa sepanjang pandemik.

 

 

Pembeli yang dihimpunkan ketika misi jualan di Kaohsiung
Pembeli yang dihimpunkan ketika misi jualan di Kaohsiung, Taiwan

 

 

“Bagaimanapun, setelah larangan perjalanan ditarik balik, kita dapat melihat lonjakan pelancong dari Taiwan sebanyak 15,503 orang tahun lepas dan kekerapan penerbangan sebanyak 59 penerbangan seminggu dicatatkan pada 202,” tambahnya.

 

Menurut Tourism Selangor, program ini juga mempamerkan kepelbagaian gastronomi Selangor termasuk bak kut the, serta memperkenalkan pengunjung Taiwan kepada kekayaan budaya Kampung Komuniti Cina di Kuala Langat, Hulu Selangor dan Sabak Bernam.

 

Di samping itu, program ini juga telah menampilkan tarikan pelancong yang menarik, seperti Sky Mirror di Kuala Selangor, pemandangan kelip-kelip yang memukau di Sabak Bernam dan Kuala Selangor, aktiviti memberi makan helang di Kuala Selangor dan aktiviti mencabar seperti paragliding dan berakit di arus deras dekat Hulu Selangor.  - DagangNews.com