‘Miskin Kampus’: Apa Peranan Kita | DagangNews Skip to main content

‘Miskin Kampus’: Apa Peranan Kita

Gerobok Rezeki banyak membantu pelajar tidak berkemampuan. Gambar ihsan - Akademi Pengajian Bahasa - UITM Cawangan Terengganu
Oleh Siti Azrina Adanan

BERADA di alam universiti adalah sesuatu yang diidam-idamkan oleh setiap pelajar demi mengejar masa depan yang lebih baik.

 

Namun, hakikatnya ramai pelajar ini yang terpaksa berjimat-cermat dengan pelbagai cara untuk kelangsungan hidup mereka di kampus.

 

Bukan ibu bapa tidak prihatin tentang keperluan anak-anak di kampus. Tetapi, kos melanjutkan pelajaran dan kos sara hidup di universiti tidaklah murah.

 

Rata-rata kos sara hidup seorang pelajar di universiti adalah diantara RM350-RM600 sebulan hanya untuk kos makan dan tempat penginapan.

 

Bayangkan jika satu keluarga mempunyai lebih dari satu anak yang menuntut di universiti. Mungkin ia bukanlah satu beban kepada golongan berpendapatan tinggi.

 

Walaubagaimanapun, untuk sebuah keluarga B40 waima M40 sekalipun, ia pasti sesuatu yang mengganggu fikiran ibu bapa.

 

 

parafrasa

 

 

‘Miskin Kampus’ dan Kesannya

Situasi ‘miskin kampus’ ini dapat dilihat di mana-mana universiti awam dan swasta di Malaysia.

 

Dengan pelbagai biasiswa dan pinjaman yang ditawarkan oleh oleh badan-badan kerajaan dan bukan kerajaan, ia masih tidak cukup untuk menampung kos keseluruhan pengajian.

 

Kebanyakan pinjaman contohnya hanya cukup untuk menampung yuran pengajian. Justeru, mahasiswa terpaksa bijak mengurus perbelanjaan masing-masing agar tidak membebankan ibu bapa mereka.

 

Ada mahasiswa yang hanya makan sekali sehari. Itupun dengan hanya nasi berlaukkan kuah kari dan telur dadar.

 

Ada juga yang terpaksa bekerja separuh masa di hujung minggu atau malam hari demi meneruskan kehidupan di kampus.

 

Tidak kurang juga mahasiswa yang terpaksa menagguhkan pembelian buku dan bayaran yuran pengajian kerana kesesakan wang.

 

Situasi sebegini sebenarnya sedikit sebanyak dapat mengurangkan fokus mereka ketika sesi pengajaran dan pembelajaran berlangsung.

 

Keutamaan mereka akan teralih kepada mencari wang berbanding tugas hakiki mereka sebagai mahasiswa. Mereka akan kelihatan lesu di dalam kelas dan tugasan-tugasan yang diberikan akan terbengkalai.

 

Akhirnya, mereka gagal dalam peperiksaan dan ini semestinya menyebabkan kerugian yang lebih besar kerana mereka terpaksa mengulang kursus yang gagal tersebut dan ini semestinya terpaksa dilalui dengan tambahan kos yang tidak dapat dielakkan.

 

 

parafrasa

 

 

Tidak kurang juga banyak kes pelajar yang akhirnya berputus asa dan mengambil keputusan untuk menarik diri dari pengajian.

 

Inisiatif Mengurangkan ‘Miskin Kampus’

Pelbagai inisiatif telah dibangunkan oleh pihak kerajaan, pusat pengajian tinggi, badan-badan dan persatuan juga individu untuk memastikan mahasiswa yang mempunyai masalah kewangan ini tidak merasa tercicir dan tertekan.

 

Antaranya, dengan adanya pinjaman boleh ubah oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang dapat membantu mahasiswa dalam menyelesaikan yuran pengajian.

 

Lebihan dari pinjaman itu sebahagiannya dapat digunakan untuk menampung kos sara hidup di kampus.

 

Selain dari itu, Kerajaan juga sangat prihatin dengan masalah kewangan yang dihadapi oleh mahasiswa di mana bermula Januari 2024, yuran pendaftaran memasuki universiti awam tidak akan melebihi RM1,500.

 

Sebanyak RM16.3 bilion diperuntukkan kepada Kementerian Pendidikan Tinggi dalam Belanjawan 2024 bagi menampung pengurangan pendapatan kerana yuran yang rendah ini bagi memastikan tiada siapa pun yang layak untuk melanjutkan pengajian terpaksa menolak tawaran hanya kerana masalah kewangan.

 

Dalam Belanjawan 2023 pula, bantuan E-Dompet sebanyak RM200 diberikan kepada mahasiswa yang layak. Kerajaan juga pernah memperkenalkan bantuan khas untuk mahasiswa bagi pembelian buku (e-baucer), dan bantuan peranti (PerantiSiswa).

 

Tidak hanya itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup juga memanjangkan inisiatif ‘Program Food Bank Malaysia’ kepada ‘Program Food Bank Siswa’ dengan menyasarkan mahasiswa B40 sebagai penerima bantuan.

 

Ia mengetengahkan konsep ‘Food Pantry’ dan ‘Central Kitchen’ untuk menyalurkan bantuan makanan kepada mahasiswa terkesan. Inisiatif-inisiatif ini membuktikan kebajikan mahasiswa sentiasa dipandang berat oleh Kerajaan.

 

Di pihak pusat pengajian tinggi pula, peranan Bahagian Zakat Sedeqah dan Wakaf dilihat sangat penting dalam menyalurkan bantuan kepada asnaf dalam kalangan mahasiswa.

 

Pihak universiti akan mengenal pasti pelajar yang terdiri dari golongan asnaf untuk diberi bantuan dan mereka ini akan dibantu dari segi kewangan untuk menyelesaikan yuran pengajian, yuran asrama dan lain-lain.

 

Zakat dan sedeqah yang disumbangkan oleh warga kampus itu sendiri dapat memupuk semangat ‘yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing’.

 

Selain dari itu, banyak juga kampus yang memperkenalkan konsep ‘Food Bank’ atau ‘Gerobok Rezeki’ di mana keperluan asas seperti makanan kering dan sebagainya diberikan secara percuma kepada pelajar yang memerlukan.

 

 

parafrasa

 

 

Penyumbang barang-barang asas ini juga kebanyakannya terdiri dari kalangan warga kampus sendiri. Budaya berkongsi rezeki amat murni dan perlu diterapkan dan diperkasakan di mana-mana kampus.

 

Kesimpulannya, peranan bagi mengurangkan masalah miskin kampus ini bukanlah hanya terletak di bahu Kerajaan sahaja.

 

Malah setiap individu termasuk warga kampus seperti pendidik dan pelajar lain juga boleh menyumbang kepada pengurangan masalah ini. Anggaplah semua warga kampus seperti keluarga sendiri.

 

Secara tidak langsung, ia akan mewujudkan suasana harmoni dan kebersamaan yang menjadikan kehidupan di kampus amat menyeronokkan bagi seseorang mahasiswa. - DagangNews.com

 
Siti Azrina Binti Adanan adalah Penyarah Kanan Fakulti Perakaunan  Universiti Teknologi Mara Cawangan Melaka