MITI perkenal Dasar AP Terbuka kepada syarikat Bumiputera lain, termasuk yang tidak pernah terbabit dalam automotif  | DagangNews Skip to main content

MITI perkenal Dasar AP Terbuka kepada syarikat Bumiputera lain, termasuk yang tidak pernah terbabit dalam automotif 

Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 18 Jun - Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) membuka lebih banyak peluang kepada usahawan Bumiputera yang berminat untuk memohon Permit Import, berkuatkuasa 1 Julai 2024 menerusi perubahan terbaharu Dasar AP Terbuka yang diumumkan hari ini.

 

Dasar AP Terbuka itu mempelawa mana-mana syarikat Bumiputera, termasuk syarikat yang tidak pernah terlibat dalam aktiviti automotif, supaya memohon untuk dilantik sebagai syarikat AP Terbuka bagi menceburi aktiviti pengimportan dan penjualan kenderaan di Malaysia.

 

"Langkah ini selaras dengan usaha MITI untuk terus meningkatkan keterangkuman dan ketelusan dalam proses permohonan AP Terbuka," kata kementerian itu dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Syarikat Bumiputera yang berminat adalah tertakluk kepada syarat utama iaitu

1. berstatus Sendirian Berhad;

2. pemilikan 100 peratus Bumiputera;

3. mempunyai modal berbayar minimum RM1 juta dan

4. sedang beroperasi sekurang-kurangnya dua tahun.

 

"Pelaksanaan dasar ini dijangka akan menarik lebih banyak syarikat Bumiputera untuk berkecimpung dalam industri automotif.

"Pertambahan bilangan syarikat akan menjadikan segmen ini lebih kompetitif dan berdaya saing," kata MITI.

 

Kementerian itu berkata, objektif utama kerajaan adalah untuk terus memperkasa agenda sosio-ekonomi Bumiputera dengan memberi peluang kepada lebih ramai usahawan Bumiputera yang berdaya saing untuk terbabit dalam sektor automotif.

 

Menurut kementerian itu lagi, Dasar AP Terbuka yang dilaksanakan sejak tahun 1970 telah berjaya melahirkan syarikat Bumiputera yang berdaya maju, bukan sahaja di dalam segmen mengimport dan menjual kenderaan, tetapi juga dalam aktiviti-aktiviti utama di sepanjang rantaian bekalan seperti perkhidmatan selepas jualan, insurans dan logistik.

 

"Dasar ini merupakan antara dasar berkaitan Bumiputera yang masih dikekalkan sehingga kini dan penting bagi mencapai sasaran 30 peratus pemilikan ekuiti Bumiputera dalam ekonomi negara seperti yang digariskan di bawah Dasar Ekonomi Baharu," kata MITI.

 

MITI mempelawa syarikat-syarikat Bumiputera yang berminat dan layak untuk membuat permohonan.

 

Orang ramai boleh merujuk https://www.miti.gov.my/index.php/pages/view/3796 untuk meneliti lanjut garis panduan, borang permohonan dan senarai semak. - DagangNews.com